PAPAR: Sebanyak 390 kes dikesan susulan 70,906 pemeriksaan premis oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melibatkan nilai rampasan berjumlah RM42,878.52 sepanjang Ops Pantau pada Ramadan tahun lalu.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata daripada jumlah itu, sebanyak 37 kes dikesan daripada 3,403 pemeriksaan yang dilaksanakan di Sabah dalam tempoh sama.
Katanya, kes itu membabitkan beberapa kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (Akta 723) melibatkan denda dan kompaun oleh mahkamah jika sabit kesalahan.
“Antara kesalahan itu adalah kegagalan meletakkan tanda harga, kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum dan kegagalan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi harga terkawal.
“Justeru, kerjasama orang ramai sebagai sebahagian daripada gerakan massa di bawah kempen KPDN, ‘Kita Gempur’, supaya memaklumkan KPDN sekiranya berlaku salah laku oleh mana-mana pihak.
“Aduan boleh dibuat melalui WhatsApp 019-848 8000 atau Call Centre 1-800-886-800 atau email kepada e-aduan@kpdn.gov.my dan aplikasi Telefon Pintar Ez Aduan KPDN,” tegasnya selepas merasmikan Pembukaan Cawangan Burger King Benoni, di sini, Ahad.
Armizan berkata Ops Pantau akan dilaksanakan sepanjang Ramadan bermula 19 Februari hingga 20 Mac tahun ini bagi membuat pemeriksaan lebih kerap serta bersasar.
Katanya, skop pelaksanaan termasuk pemantauan terhadap bekalan barangan tumpuan rakyat sempena Ramadan dan Aidilfitri supaya kekal cukup sebagaimana jaminan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Menurutnya, penguatkuasaan itu turut merangkumi barangan keperluan yang tersenarai di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri, termasuk premis yang mengadakan jualan murah supaya tiada iklan mengelirukan pengguna.
“Ops Pantau juga menyasarkan pemeriksaan di bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri supaya tiada aktiviti penjualan barangan tiruan, termasuk pemantauan terhadap jualan atas talian yang bertentangan dengan undang-undang dikuatkuasakan.
“Pegawai Penguatkuasa KPDN di seluruh negara akan ditugaskan di lokasi strategik dan tempat sasaran seperti di bazar Ramadan dan Aidilfitri, pasar awam, pasar malam, pasar tani, pasaraya, pasar mini, kedai runcit dan penjualan atas talian.
“Ia bagi melaksanakan pemeriksaan serta penguatkuasaan dan paling penting, melindungi pengguna daripada peniaga yang tidak beretika atau yang melanggar undang-undang sedia ada,” tegasnya.