SIPITANG: Daerah ini diisytiharkan sebagai Kawasan Bencana Alam berikutan banjir yang melanda beberapa kampung dan menyebabkan beberapa jambatan terputus.
Pengumuman itu dibuat Pegawai Daerah Abd Karim A.M. Zahari, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sipitang, pada Rabu, menambah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Dewan SMK Padang Berampah bagi menempatkan mangsa terjejas.
Menurut laporan terkini, paras Sungai Mengalong di Kg Paru Siku mencatat 15.087 meter, melebihi paras bahaya 12 meter, manakala Sungai Melalia atau Sungai Lukutan masih pada paras waspada 10.499 meter. Abd Karim berkata kenaikan paras air berpunca daripada hujan lebat sejak sehari sebelumnya.
Setakat jam 11.20 pagi Rabu, beberapa jalan raya yang sebelum ini terjejas banjir sudah boleh dilalui, termasuk Jalan Pantai-Tg Nipis Lama, Jalan Sipitang-Tenom, Jalan Kg Ranau-Ranau dan Jalan Sindumin-Siputol.
Bagaimanapun, Jalan Sindumin Baru, Jalan Pantai dan jambatan Sungai Meligan masih tidak selamat untuk digunakan.
Mangsa yang dipindahkan melibatkan 42 keluarga merangkumi 88 individu dari Kampung Kawang Baru, Sri Menanti, Skim Kawang Baru, Kawang Lama, Sindumin Baru, Luagan, Petarikan dan Sindumin.
Mereka termasuk 54 dewasa (31 lelaki, 23 perempuan), 33 kanak-kanak (14 lelaki, 18 perempuan, seorang bayi lelaki dan seorang bayi perempuan), enam warga emas lelaki, lima warga emas perempuan serta seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU).
Semua mangsa dipindahkan ke PPS SK Padang Berampah oleh pasukan penyelamat.