PENAMPANG: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Penampang mengadakan kunjungan kehormat kepada Presiden baharu Majlis Perbandaran Penampang (MPP) Noemi Dyena Johntren di sini pada Isnin.
Kunjungan diketuai Pengerusi Alban Joanis @ Mansali bersama Ahli-ahli Jemaah Pengarah. Turut hadir Pengurus Besar Mohd Izmi Yahya Umpong dan Timbalan Pengurus Besar Fadzly Edrus.
Program diadakan di bilik Gerakan Utama MPP di mana rombongan telah disambut oleh Noemi bersama beberapa pegawai kanan majlis.
Menurut jurucakap, lawatan bertujuan untuk mengukuhkan hubungan kerjasama strategik antara PPK Penampang dan pihak majlis di mana kedua-dua pihak membincangkan beberapa isu berkaitan operasi Kedai Peladang.
“Antara perkara yang dibangkitkan ialah permohonan pemasangan awning (atap) dan pembinaan lantai konkrit di kedai operasi Peladang. Ini perlu bagi memudahkan ahli dan orang ramai yang datang untuk berasa selasai ketika di sana,” kata jurucakap dalam kenyataan, Isnin.
Katanya, cadangan kerja-kerja menurap konkrit simen di hadapan kedai amat diperlukan bagi melancarkan operasi peladang.
Selain itu, peladang juga memohon untuk disediakan kawasan parkir khas bagi tujuan memunggah karung beras di kedai itu. Ini untuk memudahkan urusan jual beli kepada pelanggan dan ahli peladang.
Mengenai isu sistem pembetungan dan kumbahan di bahagian belakang Kedai Peladang, katanya ia memerlukan tindakan segera demi menaik taraf aspek kebersihan dan keceriaan di sekitar kedai.
“Kawasan ini yang semakin popular dan semakin ramai dikunjungi perlu diindahkan dan sistem pembentungan perlu diselenggarakan,” jelasnya.
Dalam kunjungan itu, pihak majlis di bawah kepimpinan Noemi telah menunjukkan komitmen dan keprihatinan terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan.
Presiden memberi jaminan bahawa isu-isu tersebut akan diteliti melalui perbincangan bersama jabatan teknikal berkaitan.
Selain itu, Peladang Penampang juga akan dilibatkan sebagai ahli dalam Mesyuarat Tindakan Daerah bagi membantu mempercepatkan penyelesaian isu-isu yang berbangkit.
“Kami berharap kunjungan ini dapat memperkukuh hubungan dua hala serta memastikan kelancaran operasi Kedai Peladang demi manfaat ahli dan komuniti setempat,” katanya.