SIPITANG: Dua lelaki tempatan ditahan bersama kira-kira 0.78 gram syabu dalam satu operasi pemeriksaan kenderaan di Batu 7, Jalan Samur kira-kira jam 12.20 tengah hari pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Supt Awang Anak Suanda dalam kenyataanya berkata pasukan Kenderaan Peronda Bergerak (MPV) membuat penahanan tersebut selepas mendapati sebuah Mitsubishi Triton berwarna hitam dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan pihak kami menemui dua paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu disembunyikan di dalam botol gula-gula.
“Berat keseluruhan syabu terbabit dianggarkan sekitar 0.78 gram,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata kedua-dua suspek berumur 49 dan 46 tahun itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu Awang berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) kekal komited dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah dan menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat setempat sentiasa terpelihara.