Kuala Lumpur: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menghadiri Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-148 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Parlimen, Selasa.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong turut mengiringi Ketua Menteri. Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri II Datuk Seri Fadillah Yusof.
Advertisement

Pada Rabu dan Khamis, Ketua Menteri akan mengiringi Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, sempena Persidangan Majlis Raja-Raja ke-271 di Istana Negara.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat itu bagi memperkukuh penyelarasan gerak kerja antara pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata mesyuarat itu memberi tumpuan kepada usaha mempererat kerjasama kedua-dua peringkat kerajaan, khususnya dalam penyelarasan dasar serta pelaksanaan inisiatif pembangunan secara bersama yang lebih tersusun dan berkesan.
Anwar turut menegaskan setiap dasar serta inisiatif pembangunan yang dilaksanakan perlu memberi kesan positif kepada kehidupan rakyat.
“Penekanan turut diberikan kepada aspek kebajikan dan kesejahteraan rakyat, agar setiap keputusan dan perancangan yang digariskan dapat diterjemahkan kepada manfaat yang nyata dan dirasai secara langsung oleh rakyat, terutamanya golongan yang memerlukan,” katanya.
Mesyuarat berkala itu menjadi platform penting untuk menyelaras isu berkepentingan nasional serta memantapkan hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.