TAWAU: Polis menahan seorang penganggur selepas disyaki memukul adik lelakinya selain mengugut mahu membakar rumah serta membunuh bapa kandung dalam kejadian di Kampung Langsat Merotai Besar pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata sebilah pisau panjang berukuran 28 sentimeter termasuk hulu turut dirampas daripada pemuda warga tempatan berumur 25 tahun terbabit ketika ditahan.
“Suspek ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Langsat kira-kira jam 6.30 petang Isnin oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah susulan aduan mangsa.
“Bapa suspek sendiri yang berumur 47 tahun dan adik lelakinya berusia 14 tahun tampil membuat laporan polis berhubung insiden yang berlaku kira-kira jam 12.46 tengah malam Ahad itu.
“Mengikut aduan mangsa terlibat, kejadian terbabit mula berlaku kira-kira jam 10 malam Sabtu di kediaman mereka apabila suspek mengamuk dengan bertindak agresif sambil menggenggam sebilah pisau.
“Dalam kejadian itu juga suspek dikatakan sempat mengugut mahu membakar rumah mereka malah jika ditangkap oleh polis, lelaki berkenaan hendak membunuh ahli keluarganya selepas dibebaskan dari tahanan,” katanya memaklumkan semakan latar belakang mendapati pemuda terbabit mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ancaman atau ugutan hendak menyebabkan kematian atau kecederaan kepada seseorang dan Seksyen 323 kanun sama akibat mendatangkan kecederaan.