TAWAU: Kekerapan kes kebakaran yang mengakibatkan kemusnahan besar jumlah kediaman penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Apas terutama di penempatan setinggan diakui menuntut keprihatinan berterusan kepimpinan kerajaan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Datuk Nizam Abu Bakar Titingan percaya situasi itu juga memberikan gambaran betapa solusi yang lebih berkesan diperlukan untuk memastikan situasi serupa daripada terus berulang.
Advertisement

“Saya rasa sudah sampai masanya semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak-pihak yang berkaitan supaya memikirkan cara berkesan menyusun semula penempatan penduduk setinggan”, katanya.
Nizam berkata demikian pada majlis serah-terima bantuan kemanusiaan kepada 80 Ketua Isi Rumah (KIR) yang mewakili 350 mangsa kebakaran dalam kejadian di Kampung Titingan Batu 2 Jalan Apas baru-baru ini di Pusat Penempatan Sementara (PSS) Kompleks Sukan Tawau (KST) pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Apas itu juga percaya nasib penduduk di kawasan berisiko tinggi untuk berlakunya kebakaran hingga mengakibatkan kemusnahan besar seperti di penempatan setinggan di kawasan Dun Apas tidak boleh dibiarkan.
“Kita sudah mengajukan permohonan untuk memperbanyakkan lagi perumahan rakyat dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana menjalankan inisiatif-inisiatif yang banyak membantu orang kita,” ujarnya.
“Melalui program-program perumahan yang diperkenal dan dilaksanakan di bawah inisiatif-inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ), ramai penduduk setinggan yang sudah berpindah ke kawasan lebih selesa dan selamat,” ujarnya.
Menyentuh nasib mangsa kebakaran di Kg Titingan Batu 2 Jalan Apas juga, beliau berkata mereka yang terjejas sudah berada di PSS KST selama tiga hari dengan lanjutan tempoh penempatan mereka baharu sahaja diluluskan untuk ditambah tiga hari lagi.
Pihaknya yang turut bersimpati dengan mangsa-mangsa kebakaran berharap kejadian itu diambil iktibar supaya jarak setiap rumah yang dibina mematuhi ciri-ciri selamat dan mengelak didirikan rapat-rapat.
“Kita juga berharap semua pihak menambah kewaspadaan dengan mendapatkan nasihat daripada PBT untuk memastikan struktur binaan rumah selari dengan spesifikasi yang dibenarkan oleh undang-undang”, katanya
Menurutnya perkara itu termasuklah dari segi penyambungan elektrik dan air, di samping lebih berhati-hati terhadap sebarang punca kebakaran seperti ketika memasak dan membuat penyambungan elektrik untuk mengelak kejadian serupa daripada berulang.
Ditanya rayuan mangsa supaya dibenarkan mendirikan semula rumah di tapak kebakaran termasuk diutamakan jika ada kekosongan dalam unit-unit rumah yang ada di Program Perumahan Rakyat (PPR) sedia ada, beliau akui sedia maklum dengan situasi itu.
“Kita akan usahakan membantu semampu yang boleh, namun mangsa-mangsa terlibat diminta mengemukakan permohonan berkaitan untuk melalui proses penelitian (kelayakan)”, katanya.
Mengulas lanjut kehadiran pelbagai pihak seperti agensi dan jabatan kerajaan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran amat dihargai pihaknya.
Beliau berkata bantuan kemanusiaan yang disampaikan itu menunjukkan kebersamaan semua pihak menghadapi musibah yang berlaku dan diharap mengurangkan sedikit sebanyak beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa kebakaran terlibat.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) merangkap Ahli Parlimen Tawau Datuk Lo Su Fui.
Ends
Pic attached
070225 mangsa
>>> Nizam meluangkan masa melawat sambil bertanya khabar mangsa-mangsa kebakaran yang ditempatkan di PSS KST.