Kota Kinabalu: Kerajaan mengarahkan semua agensi berkaitan melakukan kajian serta membuat persiapan rapi bagi menghadapi sebarang kemungkinan berkaitan pengurusan ibadah haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata perkara itu turut dibincangkan dalam mesyuarat khas Jemaah Menteri sebelum ini.
“Di peringkat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kita sudah meminta semua agensi mengambil pendekatan melakukan kajian dan membuat persiapan sebaiknya termasuk TH.
“Malah sebelum ini lagi TH sudah menubuhkan pasukan petugas khas bagi membincangkan perkara berkenaan.
“Pasukan petugas itu juga sudah menyediakan beberapa perancangan awal dan perbincangan lanjut akan diteruskan minggu hadapan bagi memperhalusi langkah seterusnya termasuk menyediakan pelan kontigensi,” katanya kepada media pada Majlis Simfoni Ramadan di Kompleks Sukan di sini, Sabtu.
Tambah Zulkifli, kerajaan akan melihat secara menyeluruh cara terbaik untuk menangani kemungkinan peningkatan kos supaya kebajikan jemaah haji Malaysia terus terpelihara.
“Doakan kita sentiasa bersedia dan sekiranya berlaku peningkatan kos, kita akan menanganinya dengan sebaiknya agar dapat memberi manfaat serta menjaga kebajikan semua jemaah haji kita pada tahun ini,” ujarnya.
Mengulas aspek keselamatan jemaah, beliau berkata perkara itu sentiasa dipantau dengan kerjasama rapat pihak berkuasa Malaysia dan autoriti di Arab Saudi.
“Keselamatan ini kita sangat bergantung kepada pihak autoriti negara kita dan juga pihak berkuasa di Arab Saudi. Kita sentiasa bekerjasama rapat supaya setiap perkembangan dapat diteliti dengan sebaiknya,” ujarnya.
Hadir sama wakil Ketua Menteri Datuk Isnin Aliasnih dan Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) Datuk Sapawi Ahmad.