RANAU: Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung dan Gua (Mocsar) bertindak pantas menyelamatkan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang mengalami komplikasi kesihatan ketika mendaki Gunung Kinabalu, di sini, Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau Rantey Fred berkata kejadian itu berlaku di KM1 laluan pendakian Gunung Kinabalu kira-kira jam 9.41 pagi.
“Kami menerima panggilan melalui Talian Balai dan satu pasukan terdiri daripada enam anggota Mocsar yang diketuai Pegawai Operasi Hafiz Soinin bergegas ke lokasi kejadian. Turut terlibat ialah lima anggota Taman-Taman Sabah.
“Apabila pasukan tiba di lokasi yang terletak kira-kira satu kilometer dari pos Mocsar, kami mendapati terdapat seorang pendaki yang mengalami sakit dada dan sesak nafas ketika turun dari gunung.
“Dia tidak mampu meneruskan perjalanan sendiri. Pasukan Mocsar bersama Taman-Taman Sabah mengambil tindakan membawa mangsa turun menggunakan pengusung ke Timpohon Gate,” katanya.
Menurutnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan Taman-Taman Sabah sebelum dihantar ke hospital menggunakan kenderaan Taman-Taman Sabah. Operasi tamat pada jam 11.14 pagi.
Menurut Rantey, kes pada Rabu itu merupakan kes pertama bagi bulan Februari dan juga bagi 2026.
Beliau mengulangi nasihat kepada semua pendaki agar membuat penilaian serius terhadap tahap kesihatan sebelum mendaki Gunung Kinabalu.
Katanya, persediaan mental dan fizikal amat penting, selain hanya membawa barangan yang sesuai dan perlu sahaja.
Beliau turut menasihatkan pendaki supaya lebih berhati-hati semasa musim hujan ketika ini kerana permukaan tanah dan batuan lebih licin berbanding cuaca biasa.
“Sentiasa mendaki dalam kumpulan, jangan berjalan bersendirian dan pastikan sentiasa peka terhadap nasihat yang diberikan oleh pemandu. Ini amat penting bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini pada masa hadapan,” katanya.