SANDAKAN: Pasar jualan sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) 2026 akan dibuka selama dua malam pada 14 hingga 15 Februari ini di Jalan 2, Pusat Bandar Sandakan.
Program anjuran Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) bersama Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Dewan Perniagaan Tionghua Sandakan dan Persatuan Masyarakat Tionghua Bersekutu Sandakan itu juga bakal diisi dengan beberapa acara menarik selain jualan makanan dan kelengkapan persiapan perayaan serta produk tempatan.
Acara termasuk perarakan singa dan naga yang menaiki lori berhias pada 15 Februari dari 5 petang hingga 7 malam bermula dari Padang Bandaran ke Bandar Indah, Batu 4, di sini.
Acara kemuncak, persembahan tarian singa dan naga, pertunjukan bunga api diadakan di hadapan Jalan Bandar Indah iaitu papan tanda nama Bandar Indah.
Orang ramai dijemput memeriahkan acara sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026 itu.