SANDAKAN: Seorang wanita meninggal dunia manakala dua lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah Proton Saga di hadapan Livingston Hotel, Jalan Utara, di sini awal pagi Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.01 pagi sebelum jentera tiba di lokasi kejadian tiga minit kemudian.
“Kemalangan melibatkan sebuah Proton Saga yang dipercayai terbabas sebelum melanggar sebatang pokok, mengakibatkan tiga mangsa terperangkap di dalam kenderaan.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan kesemua mangsa menggunakan peralatan khas,” katanya.
Seorang penumpang wanita, dikenal pasti sebagai Siti Madina Hassan, 51, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan dari Hospital Duchess of Kent.
Mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Dua mangsa lain iaitu pemandu, Shahrul Mohammad Basri, 26, dan seorang penumpang wanita, Janebabe M Macabio, 27, mengalami kecederaan. Kedua-duanya diberi rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Duchess of Kent bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.10 pagi selepas pihak bomba memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat dan terkawal.