RANAU: Program Jahitan dan Pemerkasaan Wanita yang diadakan di Dewan Komuniti Kampung Lohan Skim Dua merupakan inisiatif berimpak tinggi bertujuan memperkukuh keupayaan ekonomi wanita luar bandar melalui latihan jahitan dan keusahawanan.
Program anjuran Kumpulan Rentas Parlimen Malaysia (APPGM-SDG) itu dilaksanakan dengan sokongan Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan serta dirasmikan oleh Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin.
Dalam ucapannya Jonathan merakamkan penghargaan kepada APPGM-SDG atas komitmen berterusan melaksanakan inisiatif pembangunan komuniti yang menekankan pemerkasaan akar umbi.
Beliau menyifatkan program tersebut sebagai intervensi bersasar selaras dengan usaha pelokalan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Menurutnya program itu dilaksanakan di bawah inisiatif Intervensi Khas Penyelaras Tempatan APPGM-SDG Daerah Ranau yang merangkumi sumbangan empat mesin jahit serta penganjuran kursus jahitan dan keusahawanan selama tiga hari dengan G1FT sebagai rakan pelaksana.
Jonathan berkata pelaksanaan program berpandukan Terma Rujukan (TOR) yang jelas bagi memastikan tadbir urus baik, ketelusan pengurusan dana dan pemantauan impak berperingkat selaras dengan prinsip akauntabiliti dalam projek pembangunan komuniti.