Kota Kinabalu: Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) berharap pengambilan 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG9 secara kontrak (CoS) dapat membantu memenuhi keperluan guru susulan peningkatan bilangan murid yang akan memasuki Tahun Satu bermula tahun hadapan.
Presidennya, Murkam Hussien berkata kesatuan itu menyokong langkah Kementerian yang menurutnya mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh agenda pendidikan negara.
“KGKS menjangkakan susulan keputusan kerajaan membenarkan kanak-kanak berusia enam tahun memasuki Tahun Satu secara sukarela mulai tahun hadapan, bilangan murid akan meningkat (melibatkan kanak-kanak berusia enam dan tujuh tahun).
“Bagi menampung pertambahan murid, bilangan guru juga perlu ditambah… sebab itu KGKS menyokong sepenuhnya usaha murni oleh KPM ini,” katanya.
Pada Jumaat, Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad mengumumkan bahawa permohonan bagi pengambilan 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG9 secara kontrak akan dibuka di seluruh negara dari 2 hingga 20 Mac ini.
Dr Mohd Azam dipetik berkata pengumuman rasmi mengenai pengambilan itu akan dibuat pada 23 Februari manakala proses saringan dan temu duga dijadualkan berlangsung dari 27 April hingga 14 Mei dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.
Pengambilan berskala besar itu merupakan sebahagian daripada persediaan awal Kementerian Pendidikan bagi pelaksanaan Pelan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, selain menyokong kemasukan sukarela kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu mulai tahun hadapan.
Murkam berharap penduduk tempatan Sabah yang layak dapat merebut peluang ini sekali gus menyumbang kepada kejayaan agenda pendidikan negara.