Kota Kinabalu: Seorang warga Pakistan bersama empat warga Filipina pada Khamis antara lima pendatang tanpa izin (PTI) dijatuhi hukuman kerana memasuki negeri ini secara haram serta melanggar syarat dokumen perjalanan.
Empat warga Filipina terbabit ialah Moktar Ali, 60; Mukim Jarang, 40; Binhar Saliddin, 32; dan Jermin Ajijul, 25, manakala warga Pakistan ialah Haleem Ghafoor, 41.
Advertisement

Kesemua mereka mengaku bersalah secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain terhadap pertuduhan yang dikemukakan.
Keempat-empat warga Filipina itu dijatuhi hukuman penjara empat bulan setiap seorang kerana memasuki negeri ini tanpa sebarang dokumen sah.
Mereka ditahan di lokasi berasingan di sekitar bandar raya baru-baru ini selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah kepada pegawai Imigresen dalam operasi penguatkuasaan.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM10,000 serta sebatan jika sabit kesalahan.
Sementara itu Haleem didenda RM4,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda kerana memasuki negeri ini secara haram.
Mahkamah turut mengenakan denda tambahan RM4,000 atau penjara enam bulan kerana melanggar syarat dokumen perjalanannya.
Beliau ditahan pada 11 November 2025 selepas gagal mengemukakan dokumen dan didapati melanggar syarat yang ditetapkan dalam dokumen berkenaan.
Semasa rayuan kesemua tertuduh memohon agar hukuman diringankan dan supaya mereka dihantar pulang ke kampung halaman secepat mungkin.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan dan selepas selesai menjalani hukuman kesemua tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat dan Norizan Awang Tanda dari Jabatan Imigresen.