Fri, 3 Apr 2026
Headlines:
Pendekatan sifar sisa untuk bersihkan Sabah
Published on: Tuesday, January 27, 2026
Published on: Tue, Jan 27, 2026
Text Size:
Text:
Pendekatan sifar sisa untuk bersihkan Sabah
USAHA kitar semula di bawah projek sifar sisa di Kg Gerinsing, Mengkabong, Tuaran.
Kota Kinabalu: Usaha Sabah memerangi pencemaran plastik mencatat perkembangan positif selepas projek komuniti sifar sisa selama empat bulan di sebuah kampung di Tuaran berakhir, sekali gus melengkapkan penduduk dengan kemahiran kitar semula serta melaksanakan pembersihan komuniti berskala besar.

Projek di Kampung Gerinsing, Mengkabong di Tuaran yang bermula pada September 2025 sebagai satu eksperimen akar umbi, kini menjadi model bagaimana komuniti boleh menukar sisa kepada sumber, disiplin kepada kepimpinan serta kesedaran kepada perubahan berpanjangan.

Advertisement
Dipacu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Zero Waste Sabah, dengan sokongan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia Mengenai Matlamat Pembangunan Lestari (APPGM-SDG), projek itu melengkapkan penduduk dengan kemahiran praktikal pengasingan sisa, pengkomposan dan kitar semula.

Sepanjang tempoh empat bulan, penduduk kampung menghadiri bengkel amalan sifar sisa, mempelajari pembuatan kompos dan enzim buah-buahan, selain menubuhkan tapak kompos komuniti bagi mengurus sisa organik di peringkat isi rumah.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
“Projek perintis ini membuktikan bahawa penyelesaian sifar sisa yang telah berjaya di negara seperti Filipina, India dan Vietnam boleh dilaksanakan di Sabah,” kata pengasas Zero Waste Sabah, Ruth Yap, selepas projek itu berakhir Ahad lalu (25 Jan).

Beliau berkata projek berkenaan turut membuktikan model sifar sisa yang dipacu komuniti mampu berjaya di lokasi di mana insinerasi sisa-kepada-tenaga (WTE) kurang berkesan.

Advertisement
“Dengan mengaplikasikan prinsip 5R — Tolak (Refuse), Kurangkan (Reduce), Guna Semula (Reuse), Kitar Semula (Recycle) dan Reput (Rot) — inisiatif ini memupuk tanggungjawab alam sekitar, membina kepimpinan setempat dan memulihkan sumber bernilai.

“Kerajaan perlu melihat melangkaui insinerasi dan melabur dalam alternatif berasaskan komuniti bagi menangani krisis sisa Malaysia yang semakin meningkat,” katanya.

Advertisement
Yap berkata audit sisa telah dijalankan melibatkan 60 isi rumah, dengan sisa dikategorikan kepada 41 peratus bahan kitar semula, 32 peratus sisa dapur, 21 peratus sisa am, lima peratus sisa khas seperti lampin pakai buang, tuala wanita dan tisu serta satu peratus sisa berbahaya termasuk mentol dan barangan elektronik.

Beliau berkata 30 peratus penduduk komited mengasingkan sisa dan membayar yuran bulanan bagi mengekalkan program tersebut, manakala sistem kutipan sisa diteruskan dengan jadual kutipan tiga kali seminggu.

“Kami berjaya mewujudkan sistem kutipan sisa yang bukan sahaja mengutip sisa, tetapi pada masa sama mendidik komuniti untuk meningkatkan kesedaran penduduk

terhadap pencemaran plastik, kitar semula dan pengurusan sisa mampan,” katanya.

Pada majlis penutupan, seramai 80 peserta termasuk Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan penasihat APPGM-SDG Dr Jain Yassin, pegawai daerah Tuaran, NGO (Trash Hero Kota Kinabalu dan Tuaran), pelajar Sains Marin Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta agensi kerajaan negeri dan Institut Kajian Pembangunan (IDS Sabah) telah mengutip sebanyak 1,434.3 kilogram sisa dari kawasan bakau di kampung berkenaan, dengan 10.8 kilogram daripadanya terdiri daripada bahan kitar semula.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here