Kota Kinabalu: Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) menggesa pendedahan yang jelas dan menyeluruh mengenai asas undang-undang dan teknikal di sebalik perkembangan sempadan Malaysia-Indonesia baru-baru ini.
Presiden SLS Datuk Mohamed Nazim Maduarin berkata ketelusan adalah penting untuk menyelaraskan pelbagai versi maklumat awam dan mengekalkan keyakinan terhadap proses perlembagaan yang memberi kesan kepada Negeri.
Nazim menekankan bahawa perbezaan naratif antara pihak berkuasa Malaysia dan media Indonesia memerlukan pendedahan terperinci mengenai rundingan untuk memberikan penjelasan.
“Kejelasan tidak boleh hanya bergantung pada jaminan semata-mata. Sebaliknya, ia mesti berasaskan undang-undang, dokumentasi dan rekod rasmi,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
SLS menggesa Kerajaan Persekutuan mendedahkan perjanjian berkaitan, rekod tinjauan bersama dan peta rasmi yang menjadi asas penentuan sempadan.
Walaupun pegawai Malaysia menegaskan tiada kawasan yang dipindah milik, laporan media Indonesia mendakwa tiga kampung di kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara, kini di bawah pentadbiran Malaysia susulan pengukuran sempadan melibatkan 5,207 hektar.
Nazim menekankan bahawa kenyataan berbeza ini menggambarkan “realiti undang-undang yang berbeza secara asas” yang memerlukan dokumentasi untuk diselesaikan.
Tambahnya, sempadan wilayah Sabah melibatkan prinsip teras tadbir urus perlembagaan dan hubungan persekutuan-negeri dan bukan sekadar urusan pentadbiran biasa.
Kenyataan itu dibuat susulan penafian oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu lalu berhubung laporan media yang mendakwa Malaysia menyerahkan tanah sebagai pampasan bagi kampung di kawasan Nunukan yang bersempadan dengan Tawau.
Anwar berkata Malaysia sebaliknya akan mengadakan rundingan secara baik mengenai isu pampasan tanah itu dalam masa terdekat.