TAWAU: Program taklimat yang bertujuan bagi menyelesaikan isu dokumen pengenalan diri untuk penduduk yang layak sebagai warganegara Malaysia diadakan di parlimen Kalabakan pada Ahad dengan fokus ke atas mereka yang tidak mempunyai dokumen walaupun sebenarnya layak
Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata Tawau yang termasuk Kalabakan dianggarkan mempunyai lebih 500,000 penduduk dengan sekitar 300,000 daripadanya merupakan warganegara dan selebihnya terdiri daripada bukan warganegara termasuk pendatang asing dengan izin dan tanpa izin.
Menurutnya, terdapat juga golongan yang tidak memiliki sebarang dokumen walaupun sebenarnya layak sebagai warganegara Malaysia apabila salah seorang ibu atau bapa merupakan pemegang MyKad.
Bagaimanapun, katanya, kegagalan mendaftarkan perkahwinan atau kelahiran menyebabkan anak mereka membesar tanpa sijil kelahiran dan kad pengenalan.
“Antara punca utama ialah perkahwinan kampung yang tidak didaftarkan secara sah, jarak kampung yang jauh serta sukar diakses, kekangan kewangan dan faktor masa.
Akibatnya, anak-anak ini membesar tanpa dokumen dan dinafikan akses kepada pendidikan, kesihatan serta peluang pekerjaan,” katanya.
Andi berkata program itu merupakan langkah pertama untuk mendapatkan data menyeluruh bagi mengenal pasti jumlah sebenar individu yang tidak berdokumen tetapi layak sebagai warganegara serta mengenal pasti punca utama kegagalan dokumentasi sama ada melibatkan sijil nikah atau sijil kelahiran.
Program itu melibatkan 37 ketua kampung dari seluruh parlimen Kalabakan yang merangkumi empat kawasan Dun, selain ketua daerah, Ketua Anak Negeri (KAN) dan wakil KAN yang diberikan taklimat berhubung maklumat berkaitan dan tindakan yang perlu dilakukan.
Beliau turut menekankan kepentingan pendaftaran perkahwinan bagi melindungi hak wanita khususnya dari segi nafkah dan perlindungan undang-undang.
“Ini melibatkan birokrasi antara sah di sisi agama dan sah di sisi undang-undang. Kita memerlukan satu penyelesaian holistik dan menyeluruh agar mereka yang layak mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.
Andi berharap Kalabakan akan menjadi model perintis kepada pelaksanaan program seumpama itu di kawasan lain pada masa hadapan dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan jabatan-jabatan berkaitan.
“Apabila memiliki dokumen, mereka yang berkelayakan ini akan mendapat akses kepada pekerjaan, gaji minimum dan kehidupan yang lebih terjamin. Hak mereka tidak lagi dinafikan,” katanya.
Tegasnya, pengumpulan data yang tepat adalah kunci utama bagi membolehkan satu formula penyelesaian dicapai, seterusnya memudahkan urusan rakyat serta agensi kerajaan dalam menangani isu rakyat tanpa kewarganegaraan secara berkesan.