Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menggesa lebih ramai rakyat Sabah yang berkelayakan agar berani merebut dan menerima jawatan berprofil tinggi dalam perkhidmatan awam Persekutuan, termasuk penempatan di Putrajaya.
Beliau berkata rakyat Sabah mesti lebih terbuka dan bersedia untuk menerima penempatan di luar Negeri, termasuk di Semenanjung Malaysia, bagi memastikan perwakilan yang lebih seimbang dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
“Rakyat Sabah yang berkelayakan perlu melangkaui stigma enggan berkhidmat di luar negeri. Banyak kekosongan dalam perkhidmatan awam Persekutuan yang ditawarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mendapat permohonan daripada rakyat Sabah.
“Namun apabila ditawarkan jawatan, termasuk jawatan kanan, biarpun penempatannya di Semenanjung, mereka seharusnya menerima tawaran tersebut. Ini akan membolehkan lebih ramai rakyat Sabah berkhidmat dan menyumbang secara langsung dalam jabatan-jabatan Persekutuan,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pengerusi SPA Malaysia, Dato’ Sri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini.
Menurut Hajiji, penglibatan yang lebih besar rakyat Sabah dalam perkhidmatan awam Persekutuan bukan sahaja membuka peluang kemajuan kerjaya kepada individu, malah mampu memperkukuh penyertaan dan kefahaman rakyat Sabah dalam sistem pentadbiran negara secara keseluruhan.
Beliau menegaskan bahawa kehadiran lebih ramai pegawai kanan dari Sabah di peringkat Persekutuan juga penting bagi memastikan perspektif serta kepentingan negeri dapat difahami dengan lebih mendalam dalam proses penggubalan dan pelaksanaan dasar nasional.
Sementara itu, Dr Ahmad Jailani berkata, trend permohonan rakyat Sabah untuk menyertai perkhidmatan awam Persekutuan menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Menurutnya, secara purata kira-kira 2,000 rakyat Sabah dilantik ke dalam perkhidmatan awam Persekutuan setiap tahun, dengan majoritinya ditempatkan untuk berkhidmat di dalam negeri.
Bagi memudahkan urusan pengambilan dan temu duga, beliau memaklumkan bahawa SPA Malaysia akan membuka sebuah pusat temu duga baharu di Sabah tahun ini yang terletak di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Keningau.
“Pada masa ini, pusat temu duga SPA di Sabah masing-masing terletak di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau,” katanya.
Dr Ahmad Jailani turut memaklumkan Ketua Menteri mengenai pelbagai program libat urus SPA Malaysia di Sabah, termasuk penglibatan agensi itu dalam Program Kampung Angkat Madani, di samping kerjasama erat yang berterusan antara SPA Malaysia dan SPA Sabah.
Usaha berterusan ini, katanya, bertujuan memastikan lebih ramai rakyat Sabah mendapat akses kepada peluang kerjaya dalam perkhidmatan awam serta meningkatkan kehadiran mereka dalam struktur pentadbiran Persekutuan pada semua peringkat.