Kota Kinabalu: Festival Tarian Naga, Unicorn dan Singa serta Pameran Kampung Budaya sempena Tahun Baharu Cina Tahun Kuda yang berlangsung setiap tahun akan menampilkan cabutan bertuah dengan hadiah wang tunai serta hadiah menarik kepada orang ramai, Ahad ini.
Anjuran Persatuan Komuniti Cina Sabah Bersatu Kota Kinabalu (USCCAKK), sambutan sehari itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dengan kemasukan percuma pada 25 Januari, bermula 9 pagi.
Presiden USCCAKK, Datuk Susan Wong Siew Guen, berkata festival tahun ini dijangka menyaksikan penyertaan luar biasa dengan 124 pasukan tarian naga, unicorn dan singa dari seluruh negeri.
Beliau berkata ia melibatkan 33 pasukan tarian naga, 35 kumpulan unicorn, 48 kumpulan tarian singa serta lapan pasukan singa Beijing, menjanjikan pameran kebudayaan yang meriah dan mengujakan.
“Orang ramai yang hadir layak menyertai cabutan bertuah, dengan syarat mereka mendaftar dan kekal berada di lokasi. Pendaftaran akan bermula pada 9 pagi di kaunter Festival Tarian Naga, Unicorn dan Singa. Peserta perlu mengisi butiran peribadi dan memasukkan tiket mereka ke dalam kotak cabutan,” katanya.
Susan berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat terakhir penganjuran yang dihadiri ahli majlis USCCAKK serta wakil daripada sayap belia, wanita, kebudayaan dan pendidikan.
Antara yang hadir ialah Timbalan Presiden merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Chua Soon Ping; Naib Presiden merangkap Pengerusi Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak, Micheal Pan; Naib Presiden merangkap Pengerusi Aktiviti Kaligrafi Cina, Choi Kwok Cheung; dan Naib Presiden merangkap Pengerusi Pameran Kampung Budaya, Simon Hong.
Mengenai cabutan bertuah, Susan berkata ia akan diadakan dalam dua pusingan — pusingan pertama pada tengah hari dan pusingan kedua pada 7.30 malam, yang menampilkan hadiah utama.
Menurut Susan, penganjur memperuntukkan RM3,000 untuk hadiah wang tunai, dengan tambahan RM300. Hadiah wang tunai termasuk satu hadiah RM300, empat hadiah RM500 dan hadiah utama wang tunai RM1,000. Antara hadiah lain ialah dua basikal, sebuah televisyen 50 inci, pembesar suara mudah alih, baucar makan dan membeli-belah, hamper Tahun Baharu Cina, barangan elektrik, pek hadiah perayaan dan beg sekolah.
Selain persembahan utama, Susan berkata acara turut menampilkan Pameran Kampung Budaya, Pertandingan Mewarna Tahun Baharu Cina Kanak-Kanak dan aktiviti kaligrafi Cina.
Beliau menambah bahawa Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan merangkap Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin, akan merasmikan pembukaan Pameran Kampung Budaya.
Tumpuan utama festival, iaitu persembahan Grand Dragon, Unicorn and Lion Dance, akan bermula pada tengah hari, diikuti ketibaan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, pada 2 petang sebagai tetamu kehormat.
“Ketua Menteri akan mengetuai upacara memukul gendang serta pemotongan reben sebelum menyampaikan bendera kenang-kenangan dan angpow kepada semua kumpulan yang menyertai.
“Orang ramai dijemput hadir bersama keluarga dan rakan-rakan untuk meraikan Tahun Kuda dalam suasana meriah serta penuh kegembiraan dan kemakmuran,” kata Susan.