TONGOD: Dua rumah, dua kedai runcit, sebuah kereta Perodua Kancil, sebuah motosikal serta dua enjin bot musnah dalam satu kebakaran rumah di Kampung Bolot, di sini, Rabu lepas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Hairi Otuh, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.13 tengah hari sebelum mengerahkan lima anggota ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 156 kilometer dari balai.
Beliau berkata dua anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran tiba di lokasi pada 2.20 petang bagi membantu operasi pemadaman.
Menurutnya, operasi memadam kebakaran menggunakan sumber air daripada pili bomba berhampiran. Operasi itu turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia serta anggota Rela.
“Kebakaran berjaya dikawal pada 2.31 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.31 petang,” katanya.
Dalam kejadian itu, seorang wanita berusia 62 tahun mengalami kecederaan melecur pada bahagian lengan dan menerima rawatan daripada pegawai perubatan di lokasi kejadian.
Hairi berkata punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.