KOTA BELUD: Seorang pemandu Maxim berusia 30 tahun Christopher Junior Tsen dibebaskan daripada dua pertuduhan memiliki syabu dan ketamin tanpa pihak pembelaan dipanggil.
Tsen dibebaskan dan dilepas oleh Majistret A Akhiruddin Acho selepas memutuskan bahawa pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap Tsen.
Mahkamah mendapati pihak pendakwa tidak dapat menunjukan bahawa tertuduh memiliki kawalan atau penjagaan terhadap dadah tersebut.
Dadah tidak ditemui pada tubuh Tsen dan bukti yang dikemukakan tidak membuktikan bahawa beliau mempunyai pemilikan eksklusif, pengetahuan atau kawalan ke atas dadah terbabit.
Mahkamah turut menegaskan bahawa pihak pendakwa sendiri mengakui bahawa tertuduh bukan pemilik kenderaan di mana dadah itu ditemui.
Tanpa pemilikan, pendakwaan perlu mengemukakan bukti yang menunjukan tertuduh menguasai atau mengawal dadah tersebut.
Kegagalan pihak pendakwa memanggil pemilik kenderaan, seorang saksi penting yang diketahui oleh pendakwaan meninggalkan kelemahan besar dalam kes.
Mahkamah memerintahkan ikat jamin yang dibayar oleh Tsen dipulangkan.
Dalam pertuduhan pertama Tsen didakwa memiliki 26.78 gram syabu pada jam 2 petang, 23 Mei 2024 di tempat letak kereta hadapan Kedai Serambi.
Dalam pertuduhan kedua beliau didakwa memiliki 12.50 gram ketamin di tempat dan masa yang sama.
Pihak pendakwa memanggil empat saksi semasa perbicaraan.
Tsen diwakili peguam Azhier Farhan Arisin.