JABATAN Air berusaha mengurangkan kesulitan yang dihadapi penduduk akibat gangguan bekalan air selepas kira-kira 5,000 pengguna di daerah Sipitang terjejas minggu ini.
Dua loji rawatan air jabatan itu ditutup sementara – satu pada Isnin dan satu lagi pada Selasa manakala satu paip pecah berlaku di salah satu kawasan bandar juga pada Selasa.
Jurucakap jabatan berkata operasi di Loji Mesapol terhenti sementara bagi membolehkan salah satu pengambilan air di loji itu dibersihkan.
“Notis telah dikeluarkan melalui media sosial pada Rabu, jam 9 pagi bagi menasihati penduduk di beberapa kawasan Sipitang supaya menggunakan simpanan air mereka dengan berhemat,” katanya.
Antara kampung (kg) yang terjejas termasuk Kg Pelakat, Kg Lumut, Kg Guruh-Guruh, Kg Menangah, Kg Buang Sayang, Kg Lubuk Weston, Kg Lingkungan, Kg Meraba, Kg Inuman, Kg Naluyan, Kg Lubuk Darat, Kg Sungai 3, Kg Sapok, Kg Melalia, Kg Aru 9, Kg Sisim, Kg Cina Mesapol, Kg Kalamauh Mesapol, Kg Dual Mesapol, Kg Berambai dan Kg Babangkon Mesapol.

Penduduk dan pekerja sepanjang Jalan SMPO-Pelakat, Jalan Mesapol-Sipitang, Jalan SMPO 1 dan Jalan SESB Sipitang turut terjejas.
Kawasan lain yang terlibat termasuk Tunggul Tinggi, Masjid Pekan, Lubok Laut, Simpang Ulu Sipitang, Bukit Timah, Mukim Weston, Zon Mesapol dan Zon Usuk. Penduduk Taman Muhibbah, Taman Desaria, Perumahan Kaka dan Yayasan Sabah Sipitang juga terjejas.
Jurucakap itu berkata kontraktor yang terlibat dengan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo secara tidak sengaja merosakan saluran paip di Jalan Beaufort-Sipitang berhampiran Kg Naluyan pada Selasa.
“Kami menerima beberapa panggilan daripada orang awam mengenai ‘geiser’ air yang memancar beberapa meter dari persimpangan ke kampung.
“Pemeriksaan awal mendapati jentera penggali ‘Hitachi’ kontraktor telah tersilap melanggar paip kami. Injap udara 16 inci kelihatan seolah-olah hampir tercabut daripada sebahagian paip utama 600mm,” ujarnya.
Bekalan air terpaksa dihentikan sementara petang itu untuk membolehkan juruteknik jabatan membaiki paip ‘mid-steel-cement-lined (MSCL)’ yang rosak.
“Pembetulan siap pada Selasa dengan juruteknik kami mengimpal injap baru ke tempat asalnya,” maklumnya.
Juruteknik jabatan juga menasihati kontraktor berkenaan supaya mengelakkan kejadian serupa berulang.
“Kontraktor yang menjalankan projek pembangunan utama perlu memaklumkan kami terlebih dahulu.
“Ini akan membantu mengurangkan gangguan yang tidak disengajakan,” tambahnya.
Pada Isnin operasi di Loji Rawatan Air Kg Ulau terganggu akibat gangguan elektrik. Jurucakap enggan mengulas lanjut mengenai punca dan berkata jabatan bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk mengurangkan kejadian seumpama ini.
“Notis telah dikeluarkan kira-kira jam 12.30 tengah hari Isnin bagi memberi amaran kepada semua pengguna mengenai kemungkinan gangguan bekalan air,” ujarnya.
Di bawah keadaan biasa Loji Kg Ulau mampu menghasilkan antara 18 juta liter sehari (MLD) manakala Loji Mesapol menjana antara 3 MLD.