Kota Kinabalu: Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) menerima banyak keluhan dan aduan daripada pihak sekolah serta ibu bapa berkaitan kelewatan pelaksanaan projek penyediaan perkhidmatan internet oleh pihak YTL di sekolah di Sabah.
“Kelewatan ini memberi kesan secara langsung terhadap proses pengajaran dan pembelajaran serta usaha pendigitalan pendidikan di 736 sekolah yang menggunakan teknologi fiber Point-of-Presence (PoP),” kata Menteri Datuk James Ratib pada Rabu.
Antara isu utama yang telah dikenal pasti termasuk capaian jalur lebar di beberapa sekolah tidak tidak mencapai tahap seperti yang dijanjikan, respon yang lambat daripada pihak YTL dalam menangani aduan yang dikemukakan oleh pihak sekolah dan kelewatan pemasangan infrastruktur fiber PoP walaupun lokasi telah dikenal pasti.
Terdapat PoP yang belum sedia untuk digunakan walaupun telah disenaraikan sebagai siap dan sebahagian sekolah masih bergantung kepada menara 1BestariNet, menyebabkan kualiti capaian internet kekal rendah dan tidak konsisten.
“Kita memandang serius perkara ini kerana akses internet yang stabil dan berkualiti merupakan keperluan asas dalam sistem pendidikan masa kini, khususnya bagi menyokong pembelajaran digital dan pengurusan sekolah yang lebih cekap.
“Kerajaan Negeri Sabah akan menilai semula prestasi pihak YTL secara menyeluruh termasuk aspek pematuhan terhadap garis masa pelaksanaan, kualiti perkhidmatan yang diberikan serta kecekapan pengurusan dan respon terhadap aduan,” katanya.
James berkata penilaian ini bertujuan memastikan tiada kelewatan berpanjangan yang terus menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran, khususnya di sekolahsekolah luar bandar dan pedalaman.
“Sekiranya terdapat bukti sahih mengenai kelewatan atau kegagalan pelaksanaan oleh YTL, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk menamatkan lantikan ini demi kepentingan murid, guru dan kelangsungan sistem pendidikan negeri,” katanya.
Kerajaan Negeri kekal komited untuk memastikan setiap sekolah mendapat akses internet yang stabil, berkualiti dan berkesan, selaras dengan aspirasi memperkukuh pendidikan berteraskan sains, teknologi dan inovasi.