LAHAD DATU: Polis menahan tiga warga asing yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah menerusi operasi berasingan pada Isnin.
Ketua Polis Daerah ACP Dzulbaharin Ismail berkata susulan tangkapan itu, polis merampas sejumlah 58.76 gram dadah dipercayai syabu dianggarkan bernilai RM6,463.60.
Polis turut menyita sebuah kenderaan serta peralatan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti berkenaan.
“Dalam kes pertama, polis menahan seorang lelaki berusia 38 tahun di Terminal Bas Wagon di kawasan bandar Lahad Datu. Hasil pemeriksaan menemukan 6.19 gram syabu dipercayai untuk tujuan pengedaran dadah dalam milikan suspek.
“Suspek turut didapati positif dadah dan kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dzulbaharin berkata polis turut menahan dua warga asing berusia 39 dan 40 tahun susulan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan di Jalan Segama.
Semasa pemeriksaan, polis menemui 52.57 gram syabu serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pengedaran dadah.
Beliau berkata salah seorang suspek turut didapati positif dadah.
“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dzulbaharin menambah operasi berkenaan mencerminkan komitmen Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu dalam membanteras jenayah termasuk dadah di daerah ini.