TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan tiga warga asing di atas sebuah bot tunda tempatan di perairan Tawau selepas disyaki gagal mematuhi syarat sah lesen pada Ahad.
Tangkapan dibuat bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Op Pluto Timur, Op Sejahtera dan Op Tiris selepas berjaya mengesan dan memeriksa bot berkenaan sekitar jam 8.30 malam.
Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Zon Maritim Tawau Komander Maritim Norihan Ngah berkata bot berkenaan didapati tidak mematuhi syarat sah lesen apabila juragan dan kru tiada daftar nama di dalam lesen selain gagal memaklumkan pertukaran nakhoda.
“Pemeriksaan awal ke atas bot tunda yang ditahan di kedudukan 0.5 batu nautika selatan Kampung Muhibbah itu mendapati seorang lelaki warga Indonesia, 55, bertindak selaku juragan bersama dua kru lelaki yang juga warga Indonesia berumur 53 dan 54 tahun.
“Dokumentasi bot tersebut turut diperiksa dan kita mendapati juragan dan kedua-dua kru tidak mempunyai daftar nama pada lesen, tidak mempunyai sijil kompentensi serta gagal memaklumkan pertukaran nakhoda,”katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Norihan berkata lesen bot tersebut ditahan bersama juragan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tujuan siasatan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952(MSO 1952) kerana didapati melanggar syarat sah lesen.
Mengulas lanjut beliau berkata Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana komuniti maritim yang gagal mematuhi undang undang walaupun melibatkan kesalahan dianggap kecil.
Tegasnya Maritim Malaysia akan terus memperkasakan penguatkuasaan dan mengoptimumkan operasi bagi membanteras sebarang aktiviti menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah(Esszone).