TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditangkap selepas disyaki mengamuk dan mengugut ibunya menggunakan sebilah parang di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Vietnam Tanjung Batu Laut, di sini, Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata suspek, yang juga anak kandung mangsa, dikatakan mula bertindak agresif akibat perselisihan keluarga dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah malam.
“Suspek dilaporkan membawa sebilah parang dan lastik, malah turut merosakkan dinding rumah sehingga ibunya yang berumur 60-an menjadi ketakutan sebelum membuat aduan dengan pihak polis,” katanya di sini pada Isnin.
Jasmin berkata suspek kemudiannya ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) kira-kira jam 4.30 petang pada hari sama kes itu dilaporkan.
Polis turut melakukan rampasan barang kes melibatkan sebilah senjata tajam bersarung yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa mengugut ibunya.
“Siasatan kes dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/ 63 akibat tinggal di negara ini tanpa memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Jasmin menasihatkan orang ramai agar mengelak daripada perbuatan luar kawalan ketika menghadapi isu-isu berkaitan keluarga, termasuk melakukan tindakan agresif terhadap ibu bapa kandung sendiri.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya melaporkan segera sebarang kejadian tidak diingini, termasuk kes kekerasan yang boleh mengancam keselamatan diri dan ahli keluarga supaya polis dapat bertindak segera.