PENAMPANG: Agensi-agensi Persekutuan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Sabah akan disatukan di satu lokasi menerusi pembinaan Kompleks Mini NRES Sabah yang dilancarkan secara rasmi oleh Menteri NRES Datuk Seri Arthur Joseph Kurup pada Sabtu.
Majlis pecah tanah projek tersebut diadakan di Lot CL215304831, Daerah Penampang.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jaffry Arifin serta pegawai kanan Persekutuan dan negeri.
Arthur berkata projek berkenaan akan menyelesaikan masalah operasi berpanjangan yang timbul akibat agensi-agensi NRES yang kini beroperasi dari premis sewaan berasingan di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang.
“Penyatuan agensi-agensi ini akan meningkatkan penyelarasan serta mengurangkan ketidakcekapan pentadbiran.
“Kompleks seluas 6.77 ekar itu akan menempatkan empat agensi utama di bawah NRES, iaitu Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Kemudahan yang dirancang merangkumi sebuah dewan serbaguna, bangunan makmal serta sebuah gudang untuk JMG yang akan dikongsi bersama agensi-agensi lain,” katanya.
Menurutnya projek yang diluluskan di bawah Rolling Plan 3 Rancangan Malaysia Ke-12 itu dianggarkan menelan kos pembinaan sebanyak RM80.9 juta.
Arthur menyatakan pembinaan bermula pada 2 Oktober 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada 1 Februari 2029 dengan tempoh pelaksanaan kira-kira 40 bulan.
Arthur berkata kompleks berkenaan akan menampilkan elemen reka bentuk hijau dan cekap tenaga selain menggabungkan ciri seni bina tempatan.
Beliau turut memaklumkan bahawa kementerian itu sedang memperkukuh sistem amaran awal termasuk amaran banjir sebagai sebahagian daripada usaha kesiapsiagaan bencana susulan corak cuaca yang semakin tidak menentu.
“Apabila siap kelak Kompleks Mini NRES Sabah dijangka meningkatkan kecekapan operasi serta penyampaian perkhidmatan agensi-agensi sumber asli Persekutuan di negeri ini di samping menyediakan persekitaran kerja yang moden dan kekal untuk kakitangan,” jelasnya.