RANAU: Beberapa pengusaha kedai runcit dan kafe terpaksa menanggung kerugian apabila premis perniagaan mereka musnah dalam kebakaran pada Khamis malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau Rantey Fred berkata kejadian berlaku dekat Tugu Nunuk Ragang, Kampung Balisok di sini kira-kira jam 8 malam.
“Panggilan kecemasan diterima melalui talian NG999 pada jam 8.02 malam dan sepasukan tujuh anggota bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Hafizul Guntor Mohd Nordin bergegas ke lokasi kejadian.
“Apabila tiba di lokasi kejadian yang terletak 53 kilometer dari balai, kami mendapati sebuah kedai runcit dan kafe tidak kekal sedang terbakar dan musnah 100 peratus.”
Di TENOM, sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) musnah dalam kebakaran di Bukit Layang-Layang, Jalan Tenom–Sipitang, di sini, pada Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tenom Mudi Pengiran kejadian berlaku pada jam 9.49 pagi, kira-kira sejauh 30 kilometer dari balai.
“Tujuh anggota bersama sebuah jentera dikerahkan ke tempat kejadian,” katanya.
Apabila tiba, pasukan mendapati sebuah Mitsubishi Pajero Wagon 4x4 sedang terbakar.
Kebakaran dipadamkan menggunakan satu aliran hos dengan sumber air dari jentera bomba.
Mudi mengesahkan tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu sementara anggaran kerugian dan punca kebakaran masih disiasat. – Clarence Dol dan Ahmad Apong