Kota Kinabalu: Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) akan memastikan naiktaraf sekolah-sekolah daif di Sabah dilaksanakan dalam masa terdekat.
Menterinya, Datuk James Ratib berkata, dianggarkan lebih 300 sekolah daif dikenal pasti di Sabah dan usaha penambahbaikan akan dilaksanakan secara berperingkat sepanjang tahun ini.
“Buat permulaan, keutamaan diberikan kepada sekolah daif kategori skala 6 yang melibatkan kos RM1 juta ke bawah berbanding kos lebih besar bagi skala 7 dan perlu melalui prosuder lebih panjang.
“Kita akan mulakan dengan sekolah skala 6 terlebih dahulu kerana ia melibatkan kos lebih rendah dan boleh disiapkan dalam tempoh lebih singkat. Ini membolehkan lebih banyak sekolah daif dinaik taraf dalam masa yang lebih cepat.
“Manakala, bagi sekolah skala 6 yang tidak melibatkan kerosakan besar, kerja-kerja penyelenggaraan dan penggantian secara berperingkat akan dilaksana untuk memastikan kemudahan asas sekolah berada dalam keadaan selamat dan selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Amanat Menteri KPSTI Tahun 2026 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, Khamis.
James berkata, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi membincangkan isu-isu berkaitan sekolah daif di Sabah serta menyuarakan keperluan mendesak yang dihadapi ketika ini.
Katanya, kerajaan negeri juga komited memastikan semua sekolah di Sabah, khususnya di kawasan luar bandar, mendapat kemudahan pendidikan yang lebih baik demi kesejahteraan pelajar dan guru.
“Jumlah sebenar sekolah yang akan dinaik taraf pada tahun ini akan dimaklumkan kemudian selepas perbincangan dengan KPM dalam masa terdekat, yang penting kita fokus untuk atasi masalah ini,” katanya.
Beliau yakin mampu merealisasikan perancangan itu susulan rekod cemerlang pernah dicapai semasa memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat sebelum ini.
Di bawah pengurusannya sebagai Exco Kesihatan ketika itu, 100 klinik kesihatan daif di Sabah telah berjaya dinaiktaraf daripada struktur papan kayu usang kepada bangunan baharu konkrit dalam tempoh dua tahun.
Menurutnya, pencapaian itu hasil kolaborasi dan hubungan baik pihaknya dengan kementerian berkaitan di Persekutuan kerana melaluinya, segala keperluan atau permasalahan dihadapi di Sabah dapat diselesaikan segera.
“Alhamdulilah, isu klinik kesihatan daif yang saya kemukakan semasa Mesyuarat Exco Kesihatan peringkat kebangsaan, mereka ambil perhatian hingga akhirnya 100 klinik kesihatan baharu dapat disiapkan hanya dalam tempoh dua tahun.
“Konsep sama juga akan saya bawa dalam KPSTI, khususnya dalam mengatasi masalah sekolah daif di Sabah ini,” katanya.
Sehubungan itu, James menyeru semua penjawat awam sama ada di Sabah dan Persekutuan supaya bekerjasama bagi memastikan segala perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan cepat dan teratur.
Pada masa sama, katanya, sikap hormati menghormati juga harus selari tanpa ada sikap prejudis antara satu sama lain yang sudah tentu akan menjejaskan segala usaha dirancang.
Dalam perkembangan lain, James menyifatkan skala gaji gred di antara Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan Timbalan Pengarah, sebagai tiada keseimbangan dan perlu diubah.
Beliau berkata, terdapat jurang yang nyata apabila Pengarah JPNS mendapat gred Jusa B sedangkan Timbalan Pengarah hanya gred 54 iaitu sama dengan dengan skala gred Pegawai Pendidikan Daerah (PPD).
“Pada pendapat saya, kalau saya Timbalan Pengarah, kawan-kawan memang nampak saya dalam jawatan itu tapi hakikatnya gred gaji kami sama juga dengan PPD iaitu gred 54, yang bagi saya tidak adil.
“Justeru, sebagai Menteri KPSTI, saya akan suarakan perkara ini kepada KPM supaya sekurang-kurangnya Timbalan Pengarah JPNS dapat gred Jusa C. Baru seimbang,” tegasnya.