Kota Kinabalu: Parti Solidariti Tanah Airku (Star) menegaskan Kerajaan Persekutuan mesti segera mematuhi perintah Mahkamah Tinggi untuk mengembalikan 40 peratus hasil Sabah yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan, selaras dengan hak perlembagaan negeri itu.
Presidennya, Datuk Seri Jeffrey G. Kitingan berkata keputusan Mahkamah Tinggi tersebut, termasuk tempoh masa yang ditetapkan, adalah mandatori dan tidak tertakluk kepada sebarang penangguhan atau budi bicara pihak eksekutif.
“Peruntukan 40 peratus ini adalah hak perlembagaan Sabah. Ia bukan konsesi politik, bukan peruntukan pembangunan dan bukan sesuatu yang boleh dilengah, dikurangkan atau ditafsir semula mengikut keselesaan Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Jeffrey, yang juga Ahli Parlimen Keningau, berkata selepas tamat tempoh semakan selama 90 hari yang diperintahkan mahkamah, pelaksanaan penuh hak perlembagaan itu sepatutnya telah dibuat tanpa sebarang alasan lanjut.
Beliau menegaskan bahawa mesyuarat prosedur atau perbincangan tanpa hasil substantif tidak boleh dianggap sebagai pematuhan kepada Perlembagaan Persekutuan mahupun perintah mahkamah.
“Dakwaan bahawa perkara ini ada dalam agenda Jemaah Menteri Persekutuan adalah tidak memadai tanpa ketelusan mengenai jumlah sebenar hasil yang diperoleh daripada Sabah, kaedah pengiraan yang digunakan serta mekanisme pelaksanaan yang jelas dan terikat dengan garis masa tertentu,” katanya.
Adun Tambunan itu turut menegaskan bahawa perbelanjaan Kerajaan Persekutuan di Sabah bagi sektor pendidikan, kesihatan dan keselamatan merupakan tanggungjawab asas Persekutuan terhadap semua negeri, dan tidak boleh dijadikan alasan untuk menafikan atau mengimbangi hak perlembagaan Sabah.
Menurutnya, Sabah telah menunggu terlalu lama untuk hak tersebut direalisasikan, dan sebarang kelewatan lanjut hanya akan mengukuhkan persepsi awam bahawa tuntutan 40 peratus Sabah terus diketepikan atas pertimbangan politik.
“Sabah tidak meminta ihsan. Sabah menuntut apa yang sememangnya menjadi haknya di bawah Perlembagaan Persekutuan dan apa yang telah diperintahkan oleh mahkamah untuk dilaksanakan,” katanya.
Jeffrey menggesa Kerajaan Persekutuan supaya melangkaui retorik politik dan mengambil tindakan segera serta konkrit dengan menunaikan tanggungjawab perlembagaan secara jujur, telus dan bertanggungjawab, selaras sepenuhnya dengan perintah mahkamah.