Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah, melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar, memperketatkan proses kelulusan dan pelaksanaan program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) susulan aduan awam berkaitan kelayakan dan agihan skim perumahan percuma kerajaan itu.
Menterinya, Datuk Rubin Balang berkata pemilihan penerima tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pangkalan data e-Kasih.
Sebaliknya, keputusan muktamad kini akan dibuat oleh jawatankuasa yang baru dibentuk di peringkat daerah, dipengerusikan oleh Pegawai Daerah masing-masing.
“Langkah ini bertujuan memastikan ketelusan, keadilan dan penyelarasan yang lebih baik dalam pengagihan rumah, memandangkan permintaan yang semakin meningkat serta kritikan di media sosial bahawa terdapat penerima yang tidak layak.
“Kita mendengar rungutan, aduan dan maklum balas sejak beberapa tahun lalu. Ada yang menyifatkan memperoleh Rumah Mesra SMJ seperti memenangi loteri kerana ia diberikan secara percuma,” katanya.
Rubin berkata sebelum ini tiada struktur menyeluruh bagi menentukan pemilihan penerima serta memastikan pelaksanaan yang berkesan.
“Dari segi kelayakan, setakat ini ia banyak bergantung kepada data e-Kasih. Mereka yang diluluskan di bawah e-Kasih diberi keutamaan dalam pembinaan Rumah Mesra SMJ,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat Tahun Baharu kepada kementeriannya, di sini, Khamis.
Rubin, yang juga Adun Kemabong, berkata jawatankuasa baharu itu akan dianggotai oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Ketua Daerah, Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO) serta wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Daerah.
“Jawatankuasa ini akan membuat keputusan kelulusan, menyelia pelaksanaan serta memantau projek,” katanya.
Beliau berkata pemohon yang tersenarai dalam pangkalan data e-Kasih akan terus diberi keutamaan, namun mereka yang belum berdaftar masih boleh memohon melalui Adun atau PPM masing-masing untuk dibawa ke jawatankuasa tersebut.
Rubin turut menggesa semua pejabat daerah dan daerah kecil memperkukuh papan pemuka data masing-masing bagi memudahkan perancangan dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan sedang meneliti sama ada bekalan elektrik dan air, termasuk pemasangan meter, perlu dimasukkan dalam kos pelaksanaan program.
“Perkara ini dibincangkan dalam mesyuarat pada Rabu. Kita juga akan mempertimbangkan jarak rumah dengan pencawang elektrik dan rangkaian bekalan air terdekat. Jika rumah berhampiran infrastruktur sedia ada tetapi tiada tiang elektrik, kita akan memasangnya. Begitu juga dengan bekalan air,” katanya.
Beliau berkata kos pembinaan Rumah Mesra SMJ akan disemak semula berikutan peningkatan harga bahan binaan serta kos logistik dan pengangkutan.
“Kos lama tidak lagi relevan. Perbincangan akan diadakan dengan Menteri Kewangan Negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) mengenai cadangan penetapan kos baharu Rumah Mesra SMJ,” katanya.
Sementara itu, Rubin berkata Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Pegawai Daerah akan dikuatkuasakan secara konsisten bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan.
Menurutnya, KPI itu akan dipantau oleh kementeriannya, UPEN dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri, dengan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri diberi kuasa mengemukakan syor.
“Pelaksanaan KPI telah wujud sebelum ini tetapi tidak konsisten. Kali ini, pemantauan akan dibuat secara berterusan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan diperkasakan melalui penstrukturan semula.
“Keahlian biro dikurangkan daripada sembilan kepada enam, manakala jumlah ahli JKKK dikurangkan kepada lapan berbanding 11 sebelum ini.
“Pengurangan ini tidak akan melemahkan peranan JKKK, sebaliknya membolehkan fokus lebih berkesan terhadap aktiviti di peringkat kampung,” katanya.
Selain itu, beliau berkata mesyuarat JKKK ditetapkan sekurang-kurangnya enam kali setahun atau sekali setiap dua bulan, manakala pertemuan antara penduduk kampung dengan ahli JKKK atau ketua kampung diharap dapat diadakan sekurang-kurangnya dua kali setahun.