Fri, 3 Apr 2026
Headlines:
Pairin nafi terima wang sogokan
Published on: Thursday, January 15, 2026
Published on: Thu, Jan 15, 2026
By: Jo Ann Mool
Text Size:
Text:
Pairin nafi terima wang sogokan
PAIRIN (tengah) ditemani peguamnya dan pemimpin-pemimpin kanan PBS.
Kota Kinabalu: Bekas Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menafikan di Mahkamah Khas Rasuah yang mendengar perbicaraan skandal air Sabah pada Rabu bahawa beliau menerima sebarang sumbangan haram ketika menjawat jawatan sebagai Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri.

Pairin menafikan keterangan saksi pendakwaan ke-29, bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Teo Chee Kong yang mendakwa sumbangan telah diberikan kepada Pairin antara t2009 hingga September 2016.

Advertisement
Semasa pemeriksaan utama oleh Datuk Ansari Abdullah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat, Pairin, 85, yang memberi keterangan sebagai saksi pembelaan bagi bekas Pengarah Jabatan Air Sabah, Datuk Ag Mohd Tahir, ditanya sama ada keterangan Teo itu benar.

Pairin berkata: “Keterangan ini tidak benar.”

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Teo memberitahu mahkamah bahawa sumbangan didakwa turut diberikan kepada Datuk Raymond Tan ketika beliau memegang jawatan Menteri Pembangunan Infrastruktur dari suku kedua 2005 hingga 2009 dan kemudiannya kepada Pairin dari 2009 hingga September 2016 apabila Pairin mengambil alih jawatan berkenaan.

Teo merupakan Jurutera Air Bahagian Kota Kinabalu sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Air Sabah selepas Lim.

Advertisement
Menjawab soalan Ansari sama ada beliau pernah ditemubual oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung operasi pada 2016 terhadap Jabatan Air yang membawa kepada penahanan tertuduh pertama Ag Mohd Tahir, Pengarah; tertuduh ketiga Lim Lam Beng, Timbalan Pengarah serta bekas Timbalan Pengarah Teo, Pairin berkata beliau tidak dapat mengingati sebarang temu bual sedemikian.

Ditanya sama ada beliau pernah membaca laporan akhbar mengenai perkara itu, Pairin berkata mungkin ada laporan dibuat namun beliau tidak dapat mengingati membacanya.

Advertisement
Ansari turut menyoal Pairin mengenai dakwaan kewujudan apa yang digelar sebagai “Sistem Kutipan Berpusat” yang didakwa diwujudkan oleh jabatan berkenaan antara 2007 hingga 2016, di mana kontraktor dikatakan membuat sumbangan yang kemudiannya diagihkan kepada pegawai kanan jabatan, pegawai kanan di Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Infrastruktur, serta Menteri Pembangunan Infrastruktur.

Pairin berkata beliau tidak mengetahui sebarang pengaturan berkaitan sogokan tersebut. Sebelum memulakan keterangannya di mahkamah, Pairin menyatakan pekerjaannya sebagai pesara.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa beliau berkhidmat dengan Kerajaan Negeri dari 1976 hingga 2018, memegang jawatan termasuk Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur.

Pairin berkata beliau percaya telah berkhidmat dua penggal sebagai Menteri Pembangunan Infrastruktur berakhir pada 2018.  Beliau mengesahkan bahawa jabatan itu berada di bawah tanggungjawab dan kawalannya sepanjang tempoh terbabit.  Beliau turut mengenal pasti Ag Mohd Tahir dan Lim Lam Beng yang berada di kandang tertuduh.

Ag Mohd Tahir, isterinya Fauziah Ag Piut sebagai tertuduh kedua dan Lim Lam Beng sedang dibicarakan atas pelbagai pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM61.57 juta serta pemilikan barangan mewah secara tidak sah antara Oktober dan November 2016.

Ditanya mengenai prestasi Ag Mohd Tahir sebagai Pengarah Jabatan Air Pairin berkata jabatan itu sejak sekian lama menjadi sasaran aduan orang ramai berhubung bekalan air yang tidak mencukupi serta isu Air Tidak Berhasil (NRW).

“Kami cuba mengatasinya dengan menukar semua paip air namun sudah tentu masalah kewangan menjadi kekangan menyebabkan sasaran pembaikan tidak dapat dicapai dalam tempoh saya,” katanya.

Pairin turut berkata terdapat keperluan untuk menilai semula pegawai-pegawai terlibat namun beliau dinasihatkan supaya tidak berbuat demikian.

Mengenai isu kuasa beliau bersetuju bahawa Pengarah mempunyai kawalan ke atas dana tertakluk kepada prosedur tertentu dan dalam pelantikan kontraktor juga terdapat prosedur yang perlu dipatuhi.

Beliau turut mengesahkan bahawa Arahan Perbendaharaan terpakai kepada Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan semua jabatan di bawahnya sepanjang tempoh beliau memegang jawatan.

Apabila ditanya sama ada beliau mengetahui nilai kerja kontrak yang akan dikendalikan oleh jabatan berkenaan dan nilai kerja kontrak yang akan dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Infrastruktur atau Kementerian Kewangan, Pairin berkata: “Tidak sehingga ia ditunjukkan kepada saya.”

Semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Haresh Prakash Somiah, Pairin berkata walaupun beliau merupakan Menteri Pembangunan Infrastruktur, beliau tidak terlibat dalam urusan harian Jabatan Air Sabah.

Ditanya mengenai pengenalannya terhadap Ag Mohd Tahir dan Lim Lam Beng sebelum ini, Pairin berkata walaupun sudah lama berlalu, mereka merupakan pegawai yang berkhidmat di bawah kementeriannya sepanjang tempoh beliau dan mengesahkan bahawa mereka adalah pegawai Jabatan Air Negeri.

Apabila ditanya bila beliau pertama kali mengetahui mengenai keterangan terdahulu Teo Chee Kong, Pairin berkata beliau mengetahuinya melalui laporan akhbar tetapi tidak membuat sebarang laporan polis atau laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas itu.

Menjawab soalan Pairin berkata beliau hanya bertemu Ag Mohd Tahir dan Lim Lam Beng semasa taklimat dan lawatan rasmi ke pejabat Jabatan Air di beberapa daerah.

Dalam pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, Pairin berkata beliau pernah bertemu Teo semasa taklimat dan lawatan rasmi dan sepanjang tempoh perkhidmatannya beliau pernah bertemu Teo lebih daripada sekali. Beliau bersetuju bahawa hubungannya dengan Teo hanyalah dalam kapasiti rasmi sebagai menteri bukan secara peribadi.

Sementara itu saksi kelapan pihak pembela Datuk Felix Madan, bekas Setiausaha Tetap di Kementerian Kewangan dan kemudian di Kementerian Pembangunan Infrastruktur memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak pernah mendengar tentang sebarang “Sistem Kutipan Pusat” yang dikatakan beroperasi dalam Jabatan Air Sabah.

Dalam pemeriksaan utama oleh Ansari, Felix berkata beliau berkhidmat di Kementerian Kewangan dari 2005 dan kemudianya di Kementerian Pembangunan Infrastruktur sehingga Disember 2014.

Apabila ditanya sama ada beliau pernah mendengar tentang sistem kutipan pusat di Jabatan Air di mana kontraktor dikatakan perlu membayar 10.75 peratus untuk diagihkan kepada pegawai Jabatan Air, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Infrastruktur, Felix menjawab: “Tidak.”

Beliau juga menafikan pernah menerima sebarang wang daripada Jabatan Air sepanjang berkhidmat antara 2005 hingga 2014. Apabila dirujuk kepada keterangan Teo Chee Kong bahawa satu peratus daripada kutipan itu diperuntukan kepada Kementerian Kewangan dan 1.5 peratus kepada Kementerian Pembangunan Infrastruktur, Felix berkata beliau tiada pengetahuan mengenai peruntukan tersebut.

Felix memberitahu mahkamah bahawa beliau hanya mengetahui tentang serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Jabatan Air pada 2016 melalui laporan berita kerana ia berlaku selepas persaraannya.

Beliau juga mengesahkan bahawa beliau tidak pernah ditemu bual oleh SPRM sejak 2016 hingga kini.

Ditanya sama ada beliau mengenali Teo Chee Kong, bekas timbalan pengarah dan jurutera bahagian daerah Jabatan Air Negeri, Felix berkata beliau mengenalinya kerana selalu bertemu Teo dalam mesyuarat jawatankuasa pemantauan projek bulanan di Kementerian Pembangunan Infrastruktur bersama pegawai Jabatan Air lain.

Felix menafikan menerima sebarang wang daripada Ag Mohd Tahir, Lim Lam Beng atau Teo Chee Kong sepanjang perkhidmatannya di Kementerian Kewangan atau Kementerian Pembangunan Infrastruktur.

Ansari juga mewakili Fauziah manakala peguam Datuk Tan Hock Chuan dan Baldev Singh mewakili Lim. 

Turut hadir ialah peguam Sonny Durai dan Datuk Lawrence Thien yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi Pairin.

Perbicaraan diteruskan.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here