KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 30 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada Isnin atas pertuduhan melakukan pecah amanah jenayah membabitkan jumlah RM116,182.95.
Tertuduh Azhory Luran tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain.
Advertisement

Mengikut pertuduhan Azhory didakwa melakukan kesalahan itu dengan melanggar amanah yang diberikan kepadanya sebagai pekerja Fastrack Car Rental & Holidays Sdn Bhd.
Beliau diamanahkan untuk mengurus dan mengutip bayaran daripada pelanggan Oh Yes Tour Sdn Bhd namun didakwa telah menggunakan wang tersebut untuk kegunaan sendiri.
Kesalahan itu didakwa berlaku antara 10 Januari hingga 30 Jun 2025 di premis Fastrack Car Rental & Holidays Sdn Bhd di Penampang.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara antara satu hingga 14 tahun serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 10 Februari untuk pengurusan kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir mengendalikan pendakwaan manakala Azhory diwakili peguam Mohd Al Hafidz dan Luqman Syazwan Zabidi Mohd.