SANDAKAN: Timbalan Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin berkata Kampung Tanjung Aru di Kinabatangan, yang terletak di tanah besar berhampiran bandar Sandakan mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan.
Beliau berkata tawaran makanan laut serta aktiviti memancing laut dalam di kampung itu mampu menarik minat pelancong selain disokong oleh keunikan ciri penempatan kampung air terbabit.
“Kita melihat banyak peluang yang boleh dibangunkan di sini termasuk perusahaan inap desa serta produk makanan tempatan dan hasil laut,” katanya.
Selaras Tahun Melawat Malaysia 2026, Mohamad berkata kementeriannya menyediakan bantuan kewangan bagi membantu pembangunan perusahaan berkaitan pelancongan di kawasan berkenaan.
Ahli Parlimen Kimanis itu berkata demikian kepada media selepas melawat Pusat Daerah Mengundi Kampung Tanjung Aru di Kinabatangan pada Ahad.
Beliau diiringi calon kerusi Parlimen Kinabatangan Mohd Kurniawan Naim Moktar.
Mohamad berkata kementerian komited menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negeri ini melalui pembiayaan dan pinjaman yang disediakan oleh agensi di bawah seliaannya serta institusi kewangan berkaitan.
Menurutnya, sesi libat urus antara kementeriannya melalui agensi berkaitan dengan usahawan mikro, kecil dan sederhana, termasuk di Kampung Tanjung Aru, dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan untuk membantu mengembangkan perniagaan mereka.
Berucap pada majlis itu, Mohamad menegaskan kepentingan meneruskan legasi pembangunan yang dibawa oleh Allahyarham Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Beliau menyatakan keyakinan bahawa Naim mampu membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan Kinabatangan sekiranya diberi mandat selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan.
Mohamad menyifatkan Bung sebagai rakan kepimpinan dan mentor yang baik serta sentiasa memberikan sokongan kepadany, termasuk semasa PRK Kimanis pada 2020 serta melalui bimbingan beliau di Parlimen di Kuala Lumpur, khususnya dalam memperjuangkan pembangunan akar umbi secara tegas.