TONGOD: Sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal di Kampung Sanan, Tongod, musnah hampir 100 peratus dalam satu kejadian kebakaran yang dilaporkan pagi Sabtu.
Menurut kenyataan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kinabatangan, PPgB Hairi Otuh, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 10.20 pagi melalui talian NG999.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan bergegas ke lokasi sejauh 123 kilometer dan tiba pada jam 1.50 petang.
Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, struktur rumah berkeluasan kira-kira 20 x 40 kaki persegi itu telah terbakar hampir sepenuhnya.
“Operasi pemadaman dijalankan dengan menggunakan satu aliran dan satu pancutan salur bantu mula daripada jentera bomba bagi memadamkan sisa-sisa bara api,” katanya.
Hairi berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.10 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.17 petang setelah pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di kawasan kejadian.
Tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian tersebut. Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.