CALON Parti Warisan bagi kerusi Dun Lamag, Mazliwati Abdul Malek Chua, optimis mampu memberi saingan kepada calon Barisan Nasional, Mohd Ismail Ayob dalam pertembungan satu lawan satu.
Pengamal undang-undang berusia 51 tahun itu merupakan anak bekas Adun Allahyarham Datuk Haji Malik Chua dan pernah bertanding semasa Pilihan Raya Umum ke-15 mewakili Parti Warisan dalam pertembungan satu lawan satu dengan bekas penyandang Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, namun tewas.
Mazliwati berkata bertanding bagi Dun Lamag memberi kelebihan kepadanya kerana kawasan yang lebih kecil dan mudah untuk beliau turun padang melawat semua lokasi. Beliau berkata perjuangannya sebagai rakyat Kinabatangan selari dengan matlamat Parti Warisan sejak dahulu lagi iaitu berjuang untuk Sabah.
Tambahnya lagi, Parti Warisan konsisten dengan perjuangan mereka dan pastinya rakyat Kinabatangan bijak memilih wakil rakyat yang terbaik.
Sementara itu, calon Warisan bagi Parlimen Kinabatangan, Datuk Saddi Abdul Rahman menyatakan impiannya untuk mengubah status Kinabatangan, yang dikenali sebagai daerah termiskin.
“Apa yang utama, kita akan memperjuang isu rakyat terutamanya melibatkan jalan raya, air dan tanah,” katanya.
Untuk rekod, Saddi merupakan bekas Adun Sukau selama tiga penggal (2008, 2013 dan 2018).
Sementara itu, seorang peguam yang dikenali sering membantu rakyat Sabah kurang berkemampuan mengumumkan hasrat untuk bertanding sebagai calon bebas dalam PRK Parlimen Kinabatangan.
Goldam Hamid, 40, berasal dari Kampung Minusoh, Tongod, berkata keputusan itu dibuat selepas melihat jumlah pencalonan semasa.
Goldam bersaing dengan Mohd Naim Kurniawan Moktar dari Barisan Nasional dan Datuk Saddi Abdul Rahman dari Parti Warisan.
Beliau berkata keputusannya bertanding bertujuan untuk memberi pilihan kepada pengundi dalam memilih wakil rakyat Kinabatangan.
Katanya, beliau yakin rakyat Kinabatangan bijak dan matang dalam memilih wakil rakyat yang mampu mewakili suara mereka di Parlimen.
Goldam berkata, beliau turut memilih untuk menjadi calon kerana mahu menuntut hak 40 peratus Sabah.
“Isu hak 40 peratus Sabah juga menjadi agenda utama saya. Keputusan 40 peratus masih dalam proses rayuan dan perlu suara yang keras serta bernas di Parlimen.
“Sabah perlukan suara wakil rakyat yang lantang supaya Kerajaan Persekutuan segera melaksanakan pembayaran hak 40 peratus Sabah,” katanya.