TAWAU: Dewan Perniagaan Tiong Hua Tawau (CCCT) Sabah menyeru peniaga dan penduduk agar bersabar dan memberikan kerjasama sepanjang tempoh awal pelaksanaan Sistem Parkir Pintar oleh Majlis Perbandaran Tawau (MPT).
Naib Presiden CCCT Sabah merangkap Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Kerajaan Khoo Gait Piang berkata pelaksanaan penuh sistem itu di kawasan bandar bermula 1 Januari 2026 dengan pengurusan serta kutipan caj parkir di tepi jalan kini diseragamkan di bawah pentadbiran MPT.
Katanya, pelaksanaan penuh sistem baharu ini kini menarik perhatian serta perbincangan meluas dalam kalangan peniaga dan orang awam.
“Sehubungan itu, masyarakat digalakkan menyalurkan sebarang pandangan, pertanyaan atau cadangan penambahbaikan secara rasional, beradab dan melalui saluran yang wajar supaya maklum balas tersebut dapat didengar serta ditangani dengan lebih berkesan,” katanya.
Khoo menambah CCCT akan terus mengumpul maklum balas daripada peniaga-peniaganya serta mengekalkan komunikasi dan penyelarasan berterusan dengan MPT.
“Dewan berharap sistem ini dapat ditambah baik dari semasa ke semasa sepanjang tempoh pelaksanaannya supaya lebih selari dengan persekitaran perniagaan bandar Tawau serta kemampuan rakyat,” katanya.
Di bawah sistem baharu itu, katanya, semua petak parkir berpetak kuning di kawasan bandar dikenakan kadar tetap RM0.48 sejam menggantikan kaedah caj progresif yang digunakan sebelum ini. Sementara itu, caj bulanan bagi petak parkir berpetak putih (Reserved Parking) diturunkan daripada RM500 kepada RM300 sebulan tidak termasuk SST.
Katanya, MPT turut mengumumkan caj parkir akan dikecualikan sepenuhnya pada Ahad dan cuti umum.
Mengulas isu pas parkir bulanan, Khoo menjelaskan bahawa MPT telah memaklumkan CCCT bahawa peruntukan undang-undang berkaitan di bawah sistem baharu ini belum merangkumi mekanisme pas bulanan, justeru pelaksanaannya digantung buat sementara waktu.
“Bagaimanapun, MPT memberi komitmen untuk mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa berkaitan bagi mengkaji semula kebolehlaksanaan pengenalan semula pas bulanan, khususnya bagi memenuhi keperluan golongan pekerja pejabat dan pengguna tetap yang bekerja di kawasan bandar,”katanya.
Dari aspek penguatkuasaan, Khoo berkata MPT sedang melaksanakan sistem itu secara berperingkat dan berhemah iaitu pegawai penguatkuasa akan mengeluarkan peringatan mesra pada peringkat awal. Hanya selepas pemilik kenderaan menerima lima peringatan saman rasmi akan dikeluarkan.
Pendekatan itu, katanya, bertujuan memberi masa yang mencukupi kepada orang awam untuk membiasakan diri dengan operasi Sistem Parkir Pintar.
Selain penggunaan aplikasi mudah alih MPT Smart Parking dan Yono, Khoo berkata MPT akan terus mengekalkan kaunter parkir tertentu serta kiosk layan diri yang menyediakan perkhidmatan tambah nilai secara tunai.
Pada fasa seterusnya, MPT turut merancang untuk memperkenalkan kupon parkir dalam bentuk fizikal dan digital bagi memastikan golongan yang tidak mempunyai atau sukar menggunakan telefon pintar turut diberi kemudahan.
Khoo juga merakamkan penghargaan kepada Presiden MPT Joseph Pang atas sikap keterbukaan dan kefahaman yang ditunjukkan dalam proses pelaksanaan Sistem Parkir Pintar berkenaan.
“Kesediaan MPT untuk membuat penyesuaian dan penambahbaikan dalam kerangka peraturan selepas mendengar pandangan peniaga, penduduk serta pelbagai pertubuhan mencerminkan keprihatinan pihak berkuasa terhadap suara rakyat untuk penambahbaikan berterusan,” katanya.
Tambahnya, ahli-ahli CCCT yang ingin mengemukakan maklum balas boleh menghubungi CCCT Sabah melalui e-mel di ccctawau@gmail.com atau meninggalkan komen serta mesej peribadi menerusi laman Facebook rasmi Dewan: https://www.facebook. com/tawaubusinessforum.
Sebagai alternatif, pertanyaan juga boleh dibuat melalui WhatsApp di 017-850 1788.
Orang awam yang mempunyai sebarang pertanyaan atau aduan boleh menghubungi MPT melalui talian Hotline Waktu Pejabat: 089-701 666, WhatsApp: 013-880 1666, Talian Sokongan Teknikal: 018-283 2238 / 010-239 8893 atau emel: perkhidmatansokongan02@gmail.com.