KENINGAU: Masalah sistem pembetungan di sebuah kawasan perumahan dekat sini berjaya diselesaikan sepenuhnya hasil tindakan pantas dan bersepadu Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sabah (JPPS) Bahagian Keningau.
Isu sistem pembetungan tersumbat yang berlaku baru-baru ini telah menjejaskan keselesaan serta kebersihan penduduk di Taman Kota Fasa 1 dan Fasa 2, Pekan Keningau.
Gangguan aliran kumbahan akibat saluran tersumbat itu kini kembali beroperasi seperti biasa selepas kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan intensif dilaksanakan oleh pasukan teknikal jabatan berkenaan.

Tindakan pembaikan diambil susulan aduan rasmi daripada komuniti setempat hasil inisiatif proaktif Jawatankuasa Pembangunan Bandar Keningau (JKDB) yang dipengerusikan oleh Kenneth Loh Yin Kong yang menyuarakan kebimbangan penduduk berkaitan isu kebersihan dan kesihatan awam.
Kerja-kerja pembaikan dilaksanakan serta-merta dan berjaya disiapkan dalam tempoh tiga hari dengan operasi pemulihan berakhir pada Selasa lalu.
Antara langkah yang diambil termasuk pengesanan punca sekatan, kerja pembersihan menyeluruh serta penyelenggaraan sistem pembetungan bagi memastikan aliran kumbahan lancar, selamat dan berfungsi dengan baik.
Penduduk setempat turut merakamkan penghargaan kepada JPPS selain memuji keprihatinan dan peranan Loh yang dilihat berkesan sebagai penghubung antara komuniti dan agensi pelaksana.
Tindak balas yang cepat dan efisien khususnya terhadap masalah pembetungan tersumbat telah memastikan aduan rakyat ditangani dengan segera dan berkesan.
Pembetungan merujuk kepada kerja-kerja pembinaan atau pemasangan paip bagi menyalurkan najis, kumbahan dan sisa cecair lain ke loji rawatan bertujuan menjaga kebersihan, kesihatan awam serta kelestarian alam sekitar.
Sementara itu Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti (KKRU) Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam mengalu-alukan peruntukan Bajet 2026 berjumlah RM1.656 bilion kepada kementerianya.
Beliau berkata peruntukan itu akan digunakan untuk menangani pelbagai isu berkaitan kemudahan asas seperti jalan raya, cerun, jambatan, bekalan air dan perkhidmatan pembetungan.
Tambahnya KKRU komited menyediakan perkhidmatan pembetungan yang lebih cekap, berkesan dan menyeluruh melalui pengoptimuman peruntukan RM203.91 juta yang disediakan.
Dr Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kundasang berkata demikian dalam ucapan penggulungan beliau sempena Persidangan Pertama, Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah ke-17.