Kota Kinabalu: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah menegaskan kepentingan memastikan bekalan tenaga asas (baseload) yang stabil dan kos efektif demi melindungi kepentingan pengguna serta daya saing industri.
Pengerusinya David Chan mencadangkan agar Sabah mempertimbangkan pelaksanaan teknologi loji janakuasa arang batu bersih generasi baharu dengan merujuk kepada pembangunan loji arang batu moden di Kalimantan sebagai contoh yang relevan.
“Arang batu masih merupakan antara sumber tenaga paling menjimatkan dalam jangka panjang.
“Apa yang penting ialah Sabah mengguna pakai teknologi arang batu bersih yang mesra alam, mampu milik dan berkeupayaan menjamin keselamatan tenaga jangka panjang,” katanya.
Dalam pada itu beliau menyatakan dasar tenaga tidak wajar dipolitikkan sebaliknya perlu berpaksikan kepada prinsip kemampanan, kemampuan kos dan kebolehpercayaan bekalan kerana bekalan elektrik yang stabil dan mampu milik adalah penting untuk melindungi kebajikan pengguna, menyokong pertumbuhan ekonomi serta menarik pelaburan ke Sabah.
Menurutnya YPNM Sabah akan terus komited bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri, ECoS dan Sabah Electricity dalam memperjuangkan penyelesaian tenaga yang seimbang, bertanggungjawab dan bersedia menghadapi masa depan demi kepentingan seluruh rakyat Sabah.
Sementara itu David merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas inisiatif progresif dan berpandangan jauh dalam memperkukuhkan kestabilan bekalan air dan elektrik negeri.
David ketika kunjungan hormatnya bersama ahli jawatankuasa YPNM kepada Timbalan Ketua Menteri l merangkap Menteri Kerja Raya (JKR) Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam telah diberi taklimat mengenai beberapa inisiatif infrastruktur dan tenaga kritikal yang sedang dilaksanakan bagi memperkukuhkan daya tahan tenaga jangka panjang serta kemampanan bekalan tenaga Sabah.
“Antara pencapaian utama ialah pelancaran oleh Sabah Electricity terhadap Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (Bess) berkapasiti 100MW hingga 400MWh yang kini merupakan kemudahan Bess terbesar di Asia Tenggara.
“Projek mercu tanda berkenaan menandakan satu pencapaian penting dalam menstabilkan grid elektrik Sabah khususnya dalam meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik di Pantai Timur dan kawasan pedalaman yang sebelum ini sering mengalami gangguan bekalan.
“YPNM Sabah percaya bahawa kerjasama erat antara Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Sabah Electricity akan memberi manfaat besar kepada pengguna domestik dan sektor industri melalui pengurusan grid yang lebih cekap, perancangan tenaga yang lebih mantap serta penyampaian bekalan elektrik yang lebih stabil pada masa hadapan,” ujarnya.
Dr Joachim turut berkongsi pandangan mengenai penerokaan Teknologi Penukaran Tenaga Terma Lautan (Otec) sebagai sebahagian daripada pelan hala tuju tenaga boleh baharu Sabah.
Beliau berkata inisiatif tenaga hijau itu berpotensi menjadikan Sabah sebagai perintis teknologi tenaga bersih generasi baharu di rantau ini.