Fri, 3 Apr 2026
Headlines:
2026: Ini azam artis Sabah
Published on: Thursday, January 08, 2026
Published on: Thu, Jan 08, 2026
By: Kazalinah Kamaludin
Text Size:
Text:
2026: Ini azam artis Sabah
BARISAN penyampai radio Kupi-kupi FM
KITA kini sudah pun memasuki tahun 2026 selepas 2025 melabuhkan tirainya. Apa yang pasti tahun baharu sentiasa menjadi simbol kepada satu permulaan yang baharu.

Dalam mendakap hadirnya tahun baharu pastinya kita akan memasang harapan dan azam yang baharu. Tidak kurang juga ada yang melihatnya sebagai peluang kedua untuk membetulkan kesilapan diri dan terus berusaha melangkah ke hadapan.

Advertisement
Bagi edisi kali ini, Hiburan Ekspres mendapatkan pandangan serta azam dan tekad beberapa artis tempatan mengenai impian dan harapan mereka sepanjang tahun 2026.

Penyanyi rap Kozae (One Nation Emcees)

SPONSORED CONTENT
Kota Kinabalu: KOTA KINABALU: Fiesta Mega Raya (FMR) 2026 is set to be the largest and most prestigious Hari Raya celebration in Sabah, taking place from March 7 to 18, at the Sabah International Convention Centre (SICC), here.
“Kekal fokus dan berani keluar dari zon selesa. Kita ada 365 hari untuk mencari peluang yang ada. Marilah kita bersama-sama mencipta sesuatu.

“Dari segi kerjaya, pastinya saya berharap dapat mengeluarkan lebih banyak produksi lagu berbanding tahun sebelumnya.”

Advertisement
Pelakon, pengacara dan penyampai berita Jovenea Jim

“Azam saya tahun ini adalah untuk lebih fokus kepada rohani. Tahun ini, saya memilih jalan yang lebih sederhana. Tidak semua perkara perlu dipamerkan, dan tidak semua kejayaan perlu dikejar. Saya mahu melangkah perlahan, menghargai proses dan hidup dengan rasa cukup.

Advertisement
“Dari segi kerjaya pula, saya ingin kekal konsisten, terus belajar, memperkukuh kemahiran serta menerima peluang yang selari dengan nilai diri.”

Penyanyi dan pengacara, Apiz Paschya

“Masih ada beberapa sasaran yang belum dicapai sepanjang tahun 2025, namun saya pasti akan mengusahakannya sepanjang tahun baharu 2026 ini, andainya diberi kesihatan dan kekuatan untuk terus berjuang selagi mampu. Insya-Allah.

“Bagi tahun 2026, azam saya lebih kepada menjalani kehidupan yang lebih tenang, mengutamakan keluarga dan yang paling utama adalah kesihatan. Saya juga mensasarkan untuk lebih aktif bersenam seperti brisk walk dan berlari bagi meningkatkan stamina dan kesihatan.

“Selain itu, saya bakal mengeluarkan single baharu berunsurkan lagu ketuhanan yang diterbitkan sepenuhnya oleh S Nazri Kausar Production manakala lagu-lagu baharu yang lain masih dalam perancangan dan proses.”

Penyanyi Izzi Taip

“Saya berazam untuk lebih menghargai diri sendiri, menjaga kesihatan fizikal dan mental serta hidup dengan lebih tenang tanpa membandingkan kehidupan dengan orang lain. Pendek kata, saya mahu menjadi versi diri yang lebih baik.

“Dari segi karier seni pula saya berazam untuk terus berkarya dan menghasilkan sebuah single pada tahun ini.”

Penyanyi rap dan komposer Yunk-G

“Tahun baharu ini, saya berazam untuk lebih aktif dalam kerja-kerja penerbitan lagu sendiri dan artis lain. Tahun ini juga saya akan melakukan perubahan dalam genre muzik saya. Kalau mahu dengar hasilnya, terus ikuti perkembangan terkini saya di media sosial.

“Di samping urusan duniawi, azam saya juga adalah untuk terus memperbaiki diri dari segi rohani dan jasmani serta meningkatkan penghasilan karya syarikat rakaman saya, NuBorn Music dari segi kualiti dan kuantiti.”

Penyanyi Aye

“Azam baharu saya bagi tahun 2026 adalah untuk kembali aktif dalam arena muzik tempatan selepas ‘berehat’ untuk beberapa tahun. Saya dijangka akan membuat kemunculan semula dengan single terbaharu dalam masa terdekat selain menubuhkan syarikat produksi media kecerdasan buatan (AI) sendiri.

“Semoga saya terus berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi dan dikurniakan kesihatan yang baik.”

Penyanyi dan penyampai radio Rafiq

“Tahun 2026 memberi makna kesedaran bahawa hidup bukanlah satu perlumbaan untuk menjadi lebih hebat daripada orang lain tetapi satu perjalanan untuk memahami diri sendiri dengan lebih jujur, melangkah dengan niat yang jelas, menerima kekurangan sebagai sebahagian daripada proses dan belajar daripada setiap pengalaman tanpa menyesali masa lalu.”

Pengacara Bro Edd

“2026 adalah tahun untuk berkembang, ‘healing’ dan kekal fokus.”

Penyanyi MC Ryan

“Azam saya sama seperti orang lain iaitu untuk terus menjadi manusia yang lebih baik dan berguna, terus berkarya, mencari kebahagiaan baharu serta dimurahkan rezeki.”

Penyanyi rap Man Kinabalu

“Saya berharap dapat menjadi insan yang berguna kepada industri muzik Sabah dan Malaysia amnya. Saya mahu terus berkarya dan bersaing secara sihat agar lagu-lagu saya, serta karya dari Sabah, dapat melangkah lebih jauh ke peringkat Asia atau antarabangsa.

“Satu pesanan daripada saya sebagai hamba yang penuh dosa, marilah kita melakukan kebaikan dan meninggalkan karya yang baik agar generasi akan datang dapat meneruskannya. Kita tidak selamanya muda dan akan tiba masanya kita meninggalkan dunia ini.

“Kepada semua rakan dan ahli keluarga di mana sahaja kamu berada, saya doakan agar kita semua sentiasa sihat, sabar, bersikap positif serta dimurahkan rezeki dan diberi kebaikan di dunia dan akhirat. Amin.”

Penyanyi Aqeem Farhan

“Saya berazam untuk kembali kepada sesuatu yang saya minati sejak dahulu. Saya masih ingat pada tahun 2016, iaitu 10 tahun lalu, apabila diberi peluang berada di pentas besar. Walaupun sudah lama tidak aktif, minat terhadap dunia seni tidak pernah pudar.

“Dengan izin-Nya, saya bercadang untuk membuat kemunculan semula, belajar semula, membina keyakinan dan menghasilkan sebuah lagu yang akan terus dinyanyikan walaupun masa berlalu.

“Saya memilih untuk melangkah perlahan tetapi dengan penuh keyakinan, kerana saya percaya setiap rezeki seni ada waktunya sendiri. Ini adalah sebahagian daripada azam seni saya bagi tahun 2026.

“Dalam masa sama, saya tidak pernah melupakan kenangan bekerjasama dengan sahabat saya, YG dan MC Ryan, dalam menghasilkan lagu penuh makna bertajuk Istidraj. Semoga lagu ini terus dimainkan di corong radio kerana ia merupakan dakwah dalam bentuk lagu.”

Penyanyi Elulz

“Semoga tahun 2026 menjadi tahun terbaik dengan terbukanya pintu rezeki, dikurniakan kesihatan, ketenangan, kebahagiaan serta keluarga yang sejahtera. Semoga segala doa dimakbulkan dan impian tercapai.

“Saya juga berharap dapat memperluaskan hasil karya ciptaan sendiri pada masa hadapan, diterima ramai dan mencapai kejayaan dalam industri muzik suatu hari nanti.”

Penyampai radio Kupikupi FM – Felix, Deedee, Nera, BoyVanz, Velvet dan Darel

“Bagi tahun 2026, kami berharap dapat terus menjadi suara yang memberi semangat dan keceriaan kepada pendengar setiap pagi. Kami mahu menghasilkan lebih banyak kandungan yang dekat dengan kehidupan masyarakat Sabah, yang mampu membuat orang tersenyum, berfikir dan berasa ditemani di tengah kesibukan harian.

“Selain itu, kami juga ingin lebih aktif turun padang bersama komuniti, mendekati pendengar dan memahami cerita mereka. Bagi kami, radio bukan sekadar hiburan, tetapi platform untuk menyatukan serta memberi inspirasi kepada masyarakat.”
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here