Kota Kinabalu: Institusi Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Sabah menyatakan komitmen untuk memberikan sokongan teknikal sepenuhnya bagi menangani masalah banjir kilat di negeri ini.
Ia susulan kejadian banjir teruk yang melanda beberapa kawasan di Kota Kinabalu pada Sabtu lalu.
Banjir tersebut telah menyebabkan gangguan besar di kawasan seperti Kolombong, Inanam dan Manggatal selain mengakibatkan kerosakan harta benda serta kesukaran kepada komuniti yang terjejas.
Pengerusi IEM Sabah Ir Ts Tan KJ
(gambar) berkata sebagai sebuah badan profesional yang mewakili jurutera daripada pelbagai disiplin pihaknya mengakui bahawa kejadian banjir berpunca daripada faktor yang kompleks dan saling berkaitan termasuk cuaca ekstrem, kapasiti sistem perparitan terhad, corak pembangunan bandar, pengaruh pasang surut air laut serta kekangan infrastruktur yang telah lama wujud.
“IEM bersedia untuk memberikan sokongan menyeluruh kepada pihak berkuasa, agensi dan pihak berkepentingan berkaitan merangkumi langkah tindak balas segera serta strategi mitigasi banjir jangka panjang,” katanya.
Beliau menambah bahawa ahli IEM terdiri daripada profesional berpengalaman dalam bidang kejuruteraan awam, hidrologi, sistem perparitan dan kawalan banjir, kejuruteraan geoteknikal, kejuruteraan pantai, perancangan infrastruktur bandar serta kejuruteraan alam sekitar.
“Sekiranya diminta kami boleh menyumbang melalui khidmat nasihat teknikal dan pandangan profesional, penilaian kejuruteraan bebas, semakan terhadap sistem perparitan dan strategi mitigasi banjir selain berkongsi amalan terbaik serta pengajaran daripada kawasan lain yang sering dilanda banjir,” tegasnya.
IEM Sabah menekankan bahawa pengurusan banjir yang berkesan memerlukan pendekatan bersepadu, berasaskan data dan kukuh dari segi teknikal yang disokong oleh kepakaran profesional serta perancangan jangka panjang.
Menurut Tan kerjasama antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, profesional teknikal dan komuniti setempat amat penting bagi membangunkan penyelesaian yang berdaya tahan serta mampan untuk Kota Kinabalu mahupun Sabah secara keseluruhan.
“Kami komited untuk menyokong usaha yang dapat meningkatkan daya tahan infrastruktur, keselamatan awam dan kelestarian alam sekitar,” katanya.