Tuaran: Bermula dengan minat untuk membantu orang lain sejak usia muda kini berkembang menjadi tindakan bermakna apabila pemegang gelaran Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) Johor 2024 Luke Pheodor Edward James Sipulou meluaskan usaha kebajikanya membantu haiwan yang memerlukan.
Inisiatif kebajikan terbaharu itu dilaksanakan di Pusat Perlindungan Haiwan Alir pada 6 Disember lalu.
Jejaka dari Penampang itu berkata perjalanannya dalam kerja-kerja kebajikan bermula dengan penganjuran satu inisiatif untuk Rumah Kanak-Kanak Don Bosco di Bundu Tuhan.
“Dorongan daripada impak positif projek ini mendorong saya untuk terus merancang dan memperluaskan usaha kebajikan sehingga membawa kepada inisiatif kebajikan haiwan di Pusat Perlindungan Haiwan Alir,” katanya dalam satu kenyataan.
Melalui perancangan rapi, promosi aktif dan dedikasi tinggi Luke berjaya mengumpul serta membeli bekalan dalam jumlah besar untuk pusat perlindungan berkenaan.
Sumbangan merangkumi lebih 35 kampit beras, lebih 40 kilogram makanan kucing, lebih 40 kilogram makanan anjing selain pelbagai barangan keperluan lain bagi kegunaan operasi harian pusat perlindungan.
Luke berharap usahanya itu dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai golongan muda untuk terlibat secara aktif dalam kerja-kerja komuniti dan kebajikan sekali gus menghasilkan impak yang bermakna dan berkekalan.
“Ini hanyalah permulaan,” kata Luke sambil menyatakan hasratnya untuk terus menganjurkan lebih banyak projek kebajikan pada masa akan datang.
Usaha kebajikan itu dilaksanakan dengan kerjasama RTK Kalabakan 2025 Silvester Liaw yang memainkan peranan penting dalam membantu urusan pengangkutan barangan sumbangan ke pusat perlindungan terbabit.
Kerjasama itu menonjolkan kepimpinan belia yang kukuh, semangat kerja berpasukan serta komitmen bersama untuk memberi kembali kepada komuniti, termasuk dalam aspek kebajikan haiwan.
Inisiatif terbabit disambut baik oleh pihak Pusat Perlindungan Haiwan Alir, dengan sukarelawan menyatakan penghargaan serta ucapan terima kasih atas sokongan yang amat diperlukan dan diberikan pada waktu yang tepat.
Pengurus Luke, Barrynicker Gary yang juga Pengasas NG Talent & Management meluahkan rasa bangga terhadap inisiatif terbabit serta menekankan kepentingan penglibatan belia dalam kerja-kerja kemasyarakatan.
“Saya amat berbangga dengan Luke dan menyokong sepenuhnya inisiatif ini. Sebagai seorang pengurus ia amat menginspirasikan untuk melihat golongan muda tampil memberi kembali kepada komuniti dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab.
“Apa yang menjadikan projek ini lebih bermakna ialah sifat keprihatinan yang bukan sahaja ditujukan kepada manusia tetapi juga kepada haiwan yang sering terpinggir.
Ini mencerminkan nilai murni, kepimpinan serta kesedaran sosial yang tinggi dalam kalangan belia hari ini,” katanya.
Inisiatif kebajikan itu direalisasikan dengan sokongan Klinik Haiwan & Surgery Tuaran yang bertindak sebagai rakan kolaborasi rasmi serta membantu Luke menjalin hubungan dengan Pusat Perlindungan Haiwan Alir.