TAWAU: Mayat seorang lelaki dewasa yang lengkap berpakaian ditemui dalam keadaan tertiarap di sebuah premis di Batu 15 Jalan Apas, di sini, kira-kira jam 11 pagi Isnin.
Siasatan awal polis mendapati lelaki itu sudahpun meninggal dunia sekurang-kurangnya seminggu sebelum ditemui oleh orang awam di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata lelaki itu dikenalpasti sebagai Nordin, berumur lingkungan 30-an, dan dikenali penduduk sekitar sebagai gelandangan.
Menurutnya, mayat telah mula mereput apabila ditemui.
Tambahnya, lelaki terbabit dipercayai menumpang tidur di dalam sebuah kedai kosong yang terletak bersebelahan premis membasuh kereta di kawasan berkenaan.
Beliau berkata pemeriksaan terhadap tubuh badan mayat terbabit mendapati tidak ada sebarang kesan kecederaan atau luka fizikal akibat perbuatan jenayah.
“Kematian lelaki itu disahkan oleh pegawai perubatan sebelum mayatnya dirujuk ke Hospital Tawau untuk tindakan lanjut pihak perubatan, termasuk proses bedah siasat.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut namun siasatan masih lagi dijalankan,” katanya, sambil meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.