Fri, 3 Apr 2026
Headlines:
Abu Bakar Ellah bangkit hidupkan muzik tradisional Sabah: Kembali berkarya selepas 25 tahun
Published on: Monday, December 29, 2025
Published on: Mon, Dec 29, 2025
By: Kazalinah Kamaludin
Text Size:
Text:
Abu Bakar Ellah bangkit hidupkan muzik tradisional Sabah: Kembali berkarya selepas 25 tahun
BERSAMA pemuzik-pemuzik yang turut terlibat dalam pembikinan album baharunya.
ANDAI disebut namanya, Abu Bakar Ellah sememangnya tidak asing dalam industri hiburan Sabah mahupun tanah air.

Namun, selama 25 tahun, sosok penyanyi legenda ini seolah-olah menyepi daripada dunia seni.

Advertisement
Justeru, apabila diberi peluang menghasilkan sebuah album selepas lebih dua dekad, air mata kesyukuran gugur tanpa disedari. 

“Saya hampir putus asa untuk meneruskan kerja seni,” katanya sebak ketika berucap di hadapan penonton sempena pelancaran album terbarunya di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

ABU Bakar menyanyikan lagu popularnya Orang Kita dengan penuh emosi.

SPONSORED CONTENT
Kota Kinabalu: KOTA KINABALU: Fiesta Mega Raya (FMR) 2026 is set to be the largest and most prestigious Hari Raya celebration in Sabah, taking place from March 7 to 18, at the Sabah International Convention Centre (SICC), here.
“Maaf saya emosi sedikit sebab 25 tahun ini saya seolah-olah sudah hilang arah. Tidak pernah terfikir bahawa segala sumbangan kecil yang saya lakukan sebelum ini masih mendapat perhatian,” katanya.

Lama menghilang, penyanyi yang sinonim dengan gelaran Ampal itu kembali mengubati rindu peminat dengan album baharu berjudul Orang Kita, Tradisional Acoustic Cover.

Advertisement
Pembikinan album terbabit menerima sokongan Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures di bawah Dana Kandungan Kreatif (DKK), satu sokongan yang disifatkan Abu Bakar sebagai penghormatan besar dalam terhadap perjuangan seninya.

“Tidak pernah ada pihak atau syarikat yang mahu memberi peluang seperti ini kepada insan seperti saya yang sudah menginjak usia 66 tahun.

Advertisement
“Saya mula terlibat dalam muzik sejak 1981. Album pertama dikeluarkan pada 1997 dan album terakhir pada 2000. Tidak pernah terlintas di fikiran saya akan melahirkan sebuah album lagi pada 2025.

“Saya anggap peluang dan sokongan yang diberikan oleh Kementerian ini sebagai satu penghormatan besar untuk terus berjuang mengangkat muzik tradisional Sabah ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Cukup dikenali dengan muzik yang sarat elemen bunyi-bunyian tradisional etnik Sabah, penyanyi kelahiran Kinabatangan itu masih mengekalkan nuansa sama dalam album terbaharunya.

Album Orang Kita, Tradisional Acoustic Cover menampilkan penggunaan instrumen muzik tradisional seperti gambas, sundatang serta beberapa alat muzik lain yang memberi warna tersendiri pada susunan muziknya.

Ditemui Hiburan Ekspres selepas pelancaran album terbabit, Abu Bakar berkata harapannya terhadap buah tangan terbarunya itu hanya satu iaitu mengangkat muzik dan alat muzik tradisional Sabah ke persada lebih tinggi.

“Sebenarnya hasrat saya ialah mahu mengembangkan alat muzik tradisional Sabah. Contohnya di Sarawak, mereka bangga dengan sape. Di Sabah kita juga mempunyai banyak alat muzik, cuma belum diketengahkan secara meluas.

“Saya anggap ini satu usaha kecil agar suatu hari nanti alat muzik tradisional Sabah dapat diterima sebagai peralatan muzik dunia dan menjadi kebanggaan kita bersama,” katanya.

Menurut Abu Bakar, peluang menghasilkan album berkenaan telah menyuntik kekuatan baharu kepadanya untuk menghidupkan kembali api perjuangan lama yang hampir terpadam.

“Kebanyakan orang akan berkata perkara ini bukan mudah kerana pulangannya kecil berbanding pelaburan.

“Saya pemerhati kepada peralatan muzik dunia. Saya lihat alat muzik dari Barat, dari Afrika boleh menembusi peringkat antarabangsa. 

“Di Sabah, alat muzik tradisional kita juga banyak tetapi kenapa kita tidak boleh melakukan perkara yang sama?

“Siapa yang mahu menyampaikannya? Siapa yang mahu mengangkatnya? Itulah yang menjadi kekuatan saya.

“Alhamdulillah, dengan sokongan dana MyCreative, lahirlah album ini. Mudah-mudahan menerusi album ini alat muzik tempatan Sabah dapat diangkat ke persada dunia,” katanya.

Diterbitkan oleh Ampal Productions, album Orang Kita, Tradisional Acoustic Cover memuatkan 10 lagu yang terdiri daripada enam lagu lama Abu Bakar dan empat lagu baharu yang dirakam semula secara akustik bersama pemuzik tempatan berpengalaman.

Antara lagu yang dimuatkan ialah Orang Kita, Aku Tetap Kerdil, Kehidupan, Alam Dunia, Ampal Om dan Anu-Anu Penganuan. Lagu baharu pula ialah Konon Konon Pendeta, Korek Lubang Tutup Lubang, Bangsa Malaysia dan Terima Kasih.

Pembikinan album ini turut disertakan dua muzik video baharu iaitu Orang Kita dan Aku Tetap Kerdil.

“Sejak 1997, saya sudah menghasilkan lima album dan lagu-lagu lama ini saya pilih dan dirakam semula dalam versi akustik dengan gabungan muzik moden dan unsur tradisional Sabah.

“Kami menggunakan instrumen seperti gambas, sundatang, kulintangan, alat muzik bambu dan banyak lagi. Pembikinan bermula pada bulan Ramadan lalu dan mengambil masa kira-kira tujuh bulan.

“Kalau dari segi penampilan, saya tetap macam yang dulu juga, tidak banyak berubah,” katanya berseloroh.

Abu Bakar Ellah merupakan penyanyi, pemuzik jalanan, pelakon, pengarah dan penerbit yang aktif sejak era 1980-an.

Nama beliau mula dikenali menerusi program realiti Sinaran Pasport Kegemilangan sebelum melangkah kukuh dalam industri dengan album sulung berjudul S.A.P.A.

Sepanjang kerjayanya, beliau telah menghasilkan beberapa album termasuk S.A.P.A., Orang Kita, Menggatal Telipok dan Abu Bakar Ellah.

Lagu Orang Kita kekal sebagai karya paling signifikan, membawa makna mendalam dalam perjalanan seni dan kehidupan beliau.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here