TAWAU: Majlis Perbandaran Tawau (MPT) diminta mengekalkan penggunaan kupon parkir bagi satu tempoh peralihan sehingga sistem baharu dapat diterima sepenuhnya oleh orang ramai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Tanjong, Justin Wong, berkata MPT perlu mengambil kira kepentingan rakyat dalam pelaksanaan sistem parkir elektronik yang bakal diperkenalkan di daerah ini tahun hadapan.
Menurutnya, walaupun penggunaan sistem elektronik seiring dengan kemajuan teknologi, pelaksanaannya perlu dibuat secara berperingkat serta disertai pendekatan pendidikan dan penerangan yang menyeluruh kepada masyarakat.
“Dalam tempoh peralihan ini, golongan tertentu seperti warga emas yang tidak memiliki telefon pintar, serta pengunjung dari luar daerah yang mungkin tidak biasa dengan aplikasi parkir, perlu diberi pertimbangan.
“Mereka seharusnya masih diberikan pilihan untuk menggunakan kupon parkir tanpa perlu memuat turun aplikasi,” katanya.
Justin turut mencadangkan agar kaunter atau pondok bayaran parkir sedia ada dikekalkan buat sementara waktu.
Katanya, selain berfungsi sebagai pusat pertanyaan, kemudahan itu membolehkan orang ramai membeli kupon parkir sekiranya mereka kurang mahir menggunakan aplikasi.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sesi dialog khas bersama pihak MPT dan wakil penyedia aplikasi berkaitan bagi membincangkan pelaksanaan sistem parkir elektronik berkenaan.
Difahamkan, selain Tawau, Kota Kinabalu dan Penampang juga telah melaksanakan sistem parkir elektronik.
MPT pula dijadual memulakan pelaksanaan penuh sistem tersebut pada 1 Januari depan, dengan bayaran parkir dilaksanakan sepenuhnya secara elektronik.
Sementara itu, hasil perbincangan antara Justin dan MPT turut mendedahkan kadar bayaran parkir akan disemak semula.
Menurutnya, sebelum ini kadar parkir garis kuning ialah RM3.57 sehari dan akan dinaikkan kepada RM4.29, manakala kadar bayaran yang sebelum ini berbeza bagi jam pertama dan kedua kini ditetapkan iaitu RM0.48 sejam.
Bagi parkir garis merah pula, kadar harian diturunkan daripada RM35.50 kepada RM28.62, manakala kadar parkir garis putih meningkat daripada RM106 sebulan kepada RM500 sebulan. Kali terakhir kadar parkir disemak adalah pada tahun 1982.
Justin berkata, selain menggunakan aplikasi, orang ramai yang ke pusat bandar masih boleh mendapatkan kupon parkir di pondok-pondok tertentu dengan menggunakan kod imbasan QR sebelum mempamerkannya di dalam kenderaan.
Ketika ini, kawasan kutipan parkir MPT meliputi beberapa lokasi utama termasuk Fajar Commercial Centre, Taipan Commercial Centre, Unijaya Commercial Centre dan Kompleks Pertama.
Dalam pada itu, beliau berharap MPT menyediakan tempoh bertenang sepanjang peralihan sistem berkenaan.
“Sekiranya masih terdapat rakyat yang belum memahami sistem baharu, pendekatan pendidikan dan bantuan wajar diutamakan berbanding tindakan penguatkuasaan atau pengenaan denda,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang penambahan kawasan parkir perlu dirancang dengan lebih teliti serta dilengkapi kemudahan mencukupi.