LAHAD DATU: Polis menyita empat motosikal dan mengeluarkan 13 saman dalam Ops Samseng Jalanan yang dijalankan di beberapa lokasi panas sekitar bandar ini pada malam Krismas.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail, berkata dua warga asing turut ditahan dalam operasi berkenaan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta menunggang motosikal tanpa lesen.
Menurutnya, operasi itu dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik dengan kerjasama Cawangan Khas, Bahagian Narkotik, Bahagian Siasatan Jenayah serta Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, selain balai-balai polis di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, diketuai Inspektor Mohd Riduan Abdullah@Mustaffa.
Operasi dijalankan di sekitar Bandar Lahad Datu, Bandar Sri Perdana, Bandar Fajar Centre dan Jalan Lahad Datu–Sandakan.
“Hasil operasi, empat motosikal disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala 13 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya.
Dzulbaharin menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap kegiatan samseng jalanan kerana ia boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Tindakan penguatkuasaan akan terus dijalankan secara konsisten demi keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti seumpama itu kepada pihak polis pada talian 089-881255.