Kota Kinabalu: Polis berjaya menyelesaikan kes pecah masuk rumah dan kecurian kenderaan susulan penahanan dua suspek dalam satu operasi khas di kawasan Menggatal lewat malam Isnin.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata tangkapan itu hasil tindakan pantas dan risikan terperinci oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), dengan kes berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam.
Suspek terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita berusia 30an ditahan dalam dua serbuan berasingan.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam satu kes besar pecah rumah dan kecurian kenderaan di Taman Ujana Kingfisher dan dipercayai mempunyai kaitan dengan tiga lagi kes pecah rumah di Luyang dan Menggatal,” katanya.
Tambahnya, polis turut merampas pelbagai barangan yang dipercayai hasil curi, termasuk kenderaan, peralatan pecah rumah yang telah diubah suai, telefon bimbit pelbagai jenama, jam pintar, tablet, kamera digital, beg tangan serta barangan peribadi lain.
Pemeriksaan lanjut mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau yang banyak membabitkan kes pecah rumah, kecurian dan kesalahan berkaitan dadah manakala seorang lagi mempunyai rekod lampau bagi kes jenayah yang sama.
“Saringan awal air kencing mendapati seorang suspek positif dadah manakala seorang lagi didapati negatif,” katanya.