KUALA PENYU: Enam kedai terbakar kira-kira 60 peratus dalam satu kejadian di Kampung Kayul di sini, Khamis malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Penyu, Zulhalim Abidin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu melalui talian 999 pada jam 9.46 malam.
“Sembilan anggota bomba dikerah ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera FRT, sebuah lori tangki air dan sebuah kenderaan EMRS.
“Pasukan tiba di lokasi kira-kira 10 kilometer dari balai pada jam 9.53 malam,” katanya.
Menurut beliau, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan empat pancutan, dengan sumber air daripada lori tangki air.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan sementara punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.