Kota Kinabalu: Ketua jurulatih Sabah FC Jean-Paul de Marigny (gambar) membuat kejutan pada Khamis dengan mengumumkan untuk berundur dalam rakaman video di laman sosial Sabah FC lewat petang.
Warga Australia berusia 61 tahun, yang menyertai kelab itu pada permulaan musim baharu Ogos lepas, menyebut alasan keluarga sebagai punca pengunduran mengejutnya.
“Saya ingin simpulkan dengan berat hati bahawa saya terpaksa meninggalkan kelab ini dan sebab mudah adalah kerana keluarga saya meminta saya untuk kembali,” katanya menjelang akhir rakaman.
De Marigny berkata ia adalah satu perjalanan yang baik dan salah satu pencapaian terbesarnya dalam bola sepak untuk membawa pasukan itu ke final Piala FA Malaysia.
“Ini adalah kenangan yang tidak akan saya lupakan. Saya amat berbangga dengan pemain dan semua yang terlibat di Sabah FC.
“Malang bagi kami tidak dapat memenangi perlawanan itu tetapi saya rasa beraksi di final itu sendiri telah mencipta sejarah untuk Sabah FC dan ia adalah satu pencapaian yang besar.
“Saya akan pergi tetapi bukan meninggalkan kelab ini. Ia telah menjadi sebahagian daripada hidup saya. Walaupun singkat, tetapi saya telah mendapat ramai kawan di sini dan saya akan terus berhubung dengan mereka sepanjang hayat saya,” tambahnya.
De Marigny juga percaya Sabah FC boleh menjadi pasukan yang sangat kuat dengan sokongan padu penyokong setia dan rakan kongsi korporat.
Perlawanan pertama De Marigny mengemudi Sabah FC ialah aksi pembukaan liga menentang Kuala Lumpur FC yang berakhir seri 1-1 di Stadium Kuala Lumpur di Cheras pada 13 Ogos.
Rekodnya untuk Sabah FC ialah lima kemenangan, tujuh seri dan lima kekalahan dalam 17 perlawanan.