Kota Kinabalu: Adun Dilantik, Datuk Roger Chin menyeru kepimpinan jujur dan tadbir urus lebih baik, sambil menegaskan rakyat Sabah terlalu lama dibiarkan dalam kejahilan mengenai hak mereka.
Chin berkata, selepas menulis mengenai hak Sabah ke atas hasil 40 peratus, beliau menerima mesej daripada seorang rakyat Sabah.
Advertisement

“Individu itu memberitahu saya bahawa jika apa yang saya tulis itu benar, maka selama beberapa dekad rakyat telah dinafikan hak mereka tanpa dimaklumkan. Diam itu ada mahal harganya dan rakyat Sabah sudah terlalu lama membayar harga itu,” katanya dalam ucapan sulung ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri, Isnin.
Bekas Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah itu berkata, masalah Sabah bukan hanya berpunca daripada bencana alam, tetapi juga kelemahan sistem memihak kepada pihak salah.
Beliau merujuk gangguan bekalan elektrik yang kerap, kekurangan air serta proses kelulusan yang bergantung kepada hubungan peribadi dan bukannya prosedur sewajarnya.
“Ini bukan sekadar kesulitan. Ini kegagalan, dan setiap kegagalan ada puncanya,” katanya, menegaskan Sabah bukan negeri miskin, sebaliknya diurus dengan lemah.
Chin berkata, beliau tidak akan memuji usaha separuh hati atau mempertahankan sistem yang rosak, malah Dewan Undangan Negeri seharusnya mengalu-alukan soalan-soalan sukar dan bukannya mengelaknya.
Beliau menuntut sistem perancangan yang mematuhi undang-undang, bukan berasaskan layanan peribadi, selain perkhidmatan utiliti yang berfungsi setiap hari, bukan hanya ketika ada pengumuman.
Menurutnya, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mesti berkhidmat untuk rakyat, bukan agenda politik.
“Perkhidmatan awam mesti mempunyai kebebasan untuk berkata ‘tidak’ serta perlindungan apabila berbuat demikian. Ini asas sebuah negeri yang berfungsi. Negeri yang merendahkan standard akan merendahkan masa depannya,” katanya.
Beliau berkata, sebuah kerajaan yang serius sepatutnya membaiki perkara yang rosak sebelum membina yang baharu, namun belanjawan sering tertumpu kepada pengumuman projek baharu yang menarik perhatian berbanding menyelesaikan masalah yang lama terabai.
“Jalan raya ditampal tetapi cepat rosak semula, klinik luar bandar pula mempunyai kakitangan yang bekerja keras namun kekurangan kemudahan sesuai,” katanya.
Chin berkata, apabila rakyat mengadu, mereka sering diberitahu isu berkenaan adalah tanggungjawab Persekutuan dan bukan negeri.
“Perbezaan itu mungkin penting di atas kertas, tetapi tidak bermakna bagi rakyat yang menanggung akibatnya. Rakyat Sabah tidak mengalami jalan rosak sebagai isu ‘Persekutuan’ atau ‘negeri’; mereka mengalaminya sebagai kelewatan, kerosakan dan risiko.
“Penyelenggaraan bukan kekurangan visi. Penyelenggaraan adalah tanda hormat,” katanya.
Beliau menegaskan, jika belanjawan mahu mengembalikan kepercayaan rakyat, kerajaan mesti membaiki sebelum berkembang, menyelesaikan masalah sebelum menunjuk dan meletakkan rakyat mengatasi prestij.
Chin turut meminta penjelasan terperinci mengenai peruntukan RM2.2 bilion bagi dana berkanun dalam belanjawan, termasuk dana yang akan menerima peruntukan itu serta tujuan penggunaannya.
Menyentuh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), beliau menegaskan hak Sabah tidak boleh dirunding.
“Ia tidak bergantung kepada suasana politik dan bukan bahan tawar-menawar. Ia adalah syarat kemasukan kita ke dalam Malaysia, disahkan melalui dokumen, sejarah dan keputusan mahkamah.
“Hak 40 peratus bukan cadangan. Autonomi bukan hiasan dan kuasa perundangan bukan simbolik. MA63 bukan rundingan prinsip, ia adalah kontrak dan kontrak mesti dihormati,” katanya.
Beliau berkata, sebuah persekutuan yang adil adalah kukuh, namun persekutuan yang dibina atas apa yang senang akhirnya akan mengecewakan rakyatnya.
Menurut Chin, masa depan Sabah bergantung kepada keberanian membina sistem yang setimpal dengan keupayaan rakyatnya.
“Belia Sabah berbakat, bersemangat dan berkeupayaan. Apa yang mereka kurang bukan kebolehan, tetapi sebuah negeri yang cukup berani mengangkat standardnya.
“Mereka memerlukan sebuah negeri yang membolehkan mereka berkata tanpa ragu, ‘Saya boleh membina masa depan saya di sini’. Jika kerajaan gagal membina Sabah seperti itu, semua bicara mengenai kemajuan hanya akan menjadi bunyi,” katanya.
Beliau menegaskan Dewan Undangan Negeri menetapkan contoh kepimpinan dan jika pemimpin mahu dipercayai, mereka mesti membuktikan kelayakan itu.
“Dewan ini mesti menjadi tempat perbahasan tegas dan percakapan terus terang menjadi kebiasaan, bukan pengecualian. Rasa hormat tidak boleh dikompromi.
“Keberanian tanpa hormat adalah keangkuhan. Keberanian dengan hormat adalah kepimpinan,” katanya.
Chin berkata, beliau tidak akan menerima budaya alasan, berdiam diri atau standard rendah yang telah mengekang Sabah selama beberapa dekad.
“Saya akan mempertahankan hak Sabah, maruah Sabah dan rakyat yang mengharapkan kita lebih berani daripada sebelumnya,” katanya, menegaskan kehadiran di Dewan bukan ganjaran, tetapi satu amanah.
“Sabah tidak memerlukan lebih banyak kesenyapan politik. Sabah memerlukan kejujuran, disiplin dan keberanian.
“Sabah baharu tidak akan dibina atas ketakutan atau alasan. Ia akan dibina atas keyakinan.
“Keyakinan itu bermaksud percaya negeri ini layak mendapat yang lebih baik, mampu berbuat lebih baik dan tidak lagi menerima sekadar yang minimum. Itulah Sabah yang saya perjuangkan. Itulah Sabah yang mesti kita bina bersama,” katanya.